Jumlah Paparan Halaman

Jumaat, 15 Februari 2019

Sejarah Pengamalan Adat Pepatih Di Negeri Sembilan

SEJARAH PENGAMALAN ADAT PERPATIH DI NEGERI SEMBILAN

Oleh: ROSISWANDY BIN MOHD. SALLEH
Muzium Adat
Jelebu, Negeri Sembilan

Pengenalan

Negeri Sembilan mempunyai sejarah yang menarik dan unik. Dari aspek kebudayaan dan politik, Negeri Sembilan mengamalkan Adat Perpatih. Keunikannya terletak pada namanya kerana dinamakan dengan angka dan berbeza dengan negeri-negeri yang lain. Di Semenanjung Malaysia, Adat Perpatih hanya diamalkan di Negeri Sembilan, Naning Melaka dan penduduk Minangkabau di Kampung Lukut, Kota Tinggi Johor. Pengamalan Adat Perpatih di Negeri Sembilan adalah berpunca daripada kedatangan orang Minangkabau dari Sumatera sejak ratusan tahun dahulu. Adat Perpatih berasaskan kepada ‘matrilineal’ dan dipercayai berasal dari adat Bodi-Caniago yang diamalkan di Minangkabau Sumatera. Mereka datang membawa bersama adat dan kebudayaan asal mereka dan dalam masa yang sama penduduk asal Negeri Sembilan iaitu orang Jakun menerima adat dan budaya baharu tersebut.

Bagaimanapun, Adat Perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan sedikit berbeza dengan adat Perpatih di tanah Minangkabau, Sumatera. Ini kerana telah berlaku penyesuaian Adat Perpatih dengan amalan dan adat orang asli yang mengamalkan adat tempatan atau disebut Adat Benar. Adat Perpatih telah membawa banyak perubahan dan pembaharuan ke atas sistem sosial dan politik di Negeri Sembilan. Pengamalan Adat Perpatih di Negeri Sembilan bersifat menyeluruh di dalam setiap lapisan masyarakatnya di luak-luak adat. Sehingga kini Adat Perpatih memainkan peranan penting kepada sistem pentadbiran Negeri Sembilan yang merangkumi aspek pelantikan pemimpin di semua peringkat, pemilikan harta pusaka, penerapan nilai-nilai keperibadian, kekeluargaan dan kemasyarakatan yang menjadi tonggak kepada keutuhan Negeri Sembilan sebagai Negeri Beradat.

Sejarah Minangkabau Sepintas Lalu

Nama asal Minangkabau mempunyai pelbagai versi dan justifikasinya. Menurut Drs. Zuber Usman dalam bukunya Kesusasteraan Lama Indonesia menulis bahawa di dalam bahagian terakhir “Hikayat Raja-Raja Pasai” mencatatkan kisah Ratu Majapahit memerintahkan Patih Gajah Mada pergi menakluk Pulau Perca. Mereka dipercayai membawa bersama seekor kerbau hikmat yang akan diadukan dengan kerbau Patih Sewatang yang merupakan Perdana Menteri Minangkabau. Tentera Gajah Mada masuk ke Jambi dan sampai ke perbatasan Minangkabau. Tidak lama selepas itu, Patih Sewatang mendapat idea untuk menggunakan seekor anak kerbau yang tidak diberi susu selama beberapa hari untuk menandingi kerbau Gajah Mada. Semasa perlawanan bermula, anak kerbau dilepaskan dan terus mengejar kerbau Gajah Mada lalu menyerodok ke bawah kelengkang kerbau besar itu. Kerbau Gajah Mada kesakitan dan akhirnya rebah lalu mati. Dalam cerita tersebut kononnya kerbau kecil itu dipasangkan ‘berminang’ yang menyerupai tanduk tajam. ‘Minang’ ialah satu alat bersaiz kecil yang diruncingkan menyerupai tanduk. Minang dipasang di kiri dan kanan kepala anak kerbau yang kononnya digunakan untuk melawan seekor kerbau besar yang dibawa oleh Nangkodoh Basa dari laut.

Profesor Dr. Purbacaraka dalam Riwayat Indonesia 1, Cetakan 1 menyatakan bahawa Mianangkabau berasal dari ‘Minanga Tamwan’ yang bermaksud pertemuan dua muara sungai di mana Minangkabau terletak mula-mula pada pertemuan dua sungai besar. Profesor Van der Tuuk pula menyatakan bahawa Minangkabau berasal dari nama ‘Pinang Khalbu’ yang bermaksud ‘tanah asal’. Sultan Muhammad Zain pula menegaskan bahawa ‘Minangkabau’ berasal dari nama ‘Binanga Kanvar’ yang bermaksud Muara Kampar dan keterangan ini disokong oleh catatan Chau Yu Kua yang pernah melawat Muara Kampar pada abad ke-13 Masihi yang mendapati satu-satunya bandar paling ramai di pusat Sumatera ialah Muara Kampar. Manakala M. Rasyid Manggis menyatakan bahawa Minangkabau bermaksud memelihara kerbau di mana perkataan ‘mainang’ asalnya dari perkataan ‘inang’. Perkataan ini dijumpai dari perkataan ‘inang-pengasuh’, ‘mak inang Pulau Kampai’ dan banyak lagi. Profesor Dr. Muhammad Hussein Nainar dari Universiti Madras menyebut bahawa ‘Minangkabau’ berasal dari perkataan ‘menonkhabu’ yang bermaksud “tanah pangkal” atau “tanah permai”1

Minangkabau terletak di barat Sumatera dan suatu ketika dahulu menjadi sebuah kerajaan penting sebelum kerajaan Temasik (Singapura) dan Melaka. Rekod China mencatatkan bahawa Palembang atau Sriwijaya merupakan sebuah kerajaan Buddha dari tahun 600 hingga 1,400 Masihi.2 Dalam abad ke-7 Masihi, kerajaan ‘Shih-li-Fosheh’ iaitu Sriwijaya dikunjungi oleh seorang pendeta Buddha dari negeri China bernama I-Tsing yang mencatatkan bahawa penduduk Sriwijaya menganut agama Buddha. Pada tahun 905 Masihi, Palembang atau Sriwijaya digelar sebagai ‘San-bo-tsai’ di dalam rekod China. San-bo-tsai menjalinkan hubungan dengan China dari tahun 905 hingga 1178. Raja-raja Sriwijaya juga dipercayai menggunakan tulisan Sanskrit dalam persuratan mereka. Pada tahun 1003 Masihi, Maharaja China menghadiahkan beberapa buah loceng kepada tokong di San-bo-tsai (Sriwijaya). Palembang dalam tempoh dari tahun 600 hingga 1360 telah mempunyai tamadun dan merupakan salah sebuah negara terpenting di rantau ini. Mereka memiliki kebudayaan tersendiri.3 Menurut sumber China, kerajaan Palembang (Sriwijaya) dimusnahkan oleh orang Jawa yang melancarkan beberapa siri peperangan di antara tahun 1338 hingga 1365 Masihi. Kerajaan baharu yang menguasai rantau ini ialah kerajaan Jawa atau Majapahit. Pada tahun antara 1200 hingga 1350 Masihi, sekelompok orang Palembang merantau dan membuka Temasik (Singapura).4 Semasa zaman kerajaan Melayu Melaka berkuasa, wilayah kekuasaannya meliputi negeri-negeri seperti Palembang, Kampar, Siak dan Inderagiri.5

_____________________________________________________________________________
1 Ibid., M. Rasjid Manggis, hlm. 94-96.
2 Wilkinson, R.J., 1923. A History of the Peninsula Malay. Third Revision Edition, Oxford University Press, hlm. 24-25.
3 Ibid., Wilkinson, hlm. 31.

Di Sumatera Barat, penduduknya menjalankan kegiatan bertani atau berladang yang disebut juga sebagai ‘si Talang’ atau ‘orang Talang’. Kelompok ini asalnya berpusat di Batu Sangkar dan berada di bawah kekuasaan kerajaan Pagar Ruyung. (Prastijo, 2011:47).6 Suku bangsa Minangkabau dipercayai datang dari kelompok Melayu Deutro yang muncul pada Zaman Logam kira-kira 500 tahun sebelum Masihi dan datang ke Nusantara khususnya di Sumatera Barat. Mereka datang melalui pantai timur pulau Sumatera dan menetap sementara di pedalaman pulau itu. Kemudian mereka mudik ke Selat Melaka sampai ke Pelalawan di sekitar pertemuan Sungai Kampar Kiri dan Kampar Kanan. Mereka menetap di sepanjang tebing Sungai Kampar dan di dalam gua-gua. Mereka menjalankan aktiviti seharian dengan menangkap ikan dan berburu. Apabila daerah tersebut sering mengalami banjir dan mereka ingin mencari tanah yang subur untuk pertanian, mereka beransur-ansur berpindah dan menetap di pedalaman Sumatera Barat. Mereka mula membina penempatan berupa perkampungan dan dipercayai bahawa kampong yang pertama ialah Kampung Sungkayan. Mereka mengamalkan kepercayaan pemujaan nenek-moyang dan membina beberapa tempat dianggap sebagai keramat seperti gunung, kubur, pokok-pokok besar dan binatang.7

Adat dan Kebudayaan Minangkabau

Adat Minangkabau dipercayai menjadi asas kepada sistem pemerintahan kerajaan Pagar Ruyung di bawah pemerintahan Adityawarman (1347-1375).8 Dalam beberapa tambo, adat ini mempunyai kaitan dengan sejarah kerajaan Pagar Ruyung. Pagar Ruyung adalah nama kerajaan atau institusi politik. Manakala Minangkabau adalah nama masyarakat atau penduduk yang mendukung kerajaan Pagar Ruyung. Pagar Ruyung merupakan sebuah negara etnik iaitu sebuah negara bagi etnik Minangkabau. Penduduk asli wilayah Sumatera dikenali sebagai orang Talang yang tergolong daripada penduduk asli Austronesia. Mereka sudah berada di Sumatera tengah lebih awal sebelum kemunculan orang Melayu mahupun orang Minangkabau. Mereka bertutur dalam pelbagai dialek daripada bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu-O, mengamalkan adat yang sama iaitu adat matrilineal, menjalan kehidupan seharian

_________________________________________________________________________
4 Ibid., Wilkinson, hlm. 33.
5 Ibid., Wilkinson, hlm. 38.

6 Nazarudin Zainun, 2015. Antropologi dan Sejarah Dalam Kearifan Tempatan. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia, hlm.
7 M.Rasjid Manggis Dato’ Radjo Panghoeloe, 1982. Sejarah Ringkas Minangkabau dan Adatnya. Penerbit Mutiara Jakarta, hlm. 29-31.
8 MD Mansoer, 1970. Sedjarah Minangkabau. Penerbit Bhratara, Jakarta, hlm. 58.
dengan bertani huma (shifting cultivation) termasuk berburu dan meramu. Pada mulanya mereka menganut kepercayaan animisme. Orang Talang hidup terasing dalam kumpulan-kumpulan kecil yang dipimpin oleh seorang ‘Batin’. Setiap kelompok orang Talang terpecah ke dalam suku matrilineal. Menurut adat orang Talang, darah dan harta diturunkan daripada seorang ibu kepada anak-anak perempuan dan posisi ketua adat dan politik diwariskan daripada mamak (bapa saudara, saudara lelaki kepada ibu) kepada kemanakan laki-laki (anak lelaki si ibu). Mungkin inilah yang kini dikenali sebagai Bodi-Caniago di Minangkabau atau Adat Perpatih di Semenanjung. Selain bertani, mereka bergantung hasil hutan seperti madu lebah, gaharu, rotan dan lada. Hasil-hasil ini dibawa dan dijual ke pengkalan yang biasanya terletak di tepi sungai. Di pengkalan inilah mereka bertemu dan bergaul dengan orang luar dan mengetahui sedikit-sebanyak apa yang berlaku di luar wilayah mereka. Hasil pertanian dan hutan ditukarkan dengan barangan yang dibawa oleh pedagang dari India, Gujerat, Arab, Parsi, China dan banyak lagi. Para pedagang dan musafir asing masuk ke pedalaman Sumatera Tengah dengan melalui sungai-sungai besar di pesisir timur Sumatera seperti Batang Hari, Inderagiri, Kampar, Siak dan Rokan. Kemasukan budaya dan teknologi baharu daripada pedagang dan musafir asing ini telah mengubah secara berperingkat ke atas cara hidup, tamadun, tradisi moden, sistem pemerintahan, kepercayaan dan sebagainya. Adat Perpatih merupakan adat yang tidak bertulis dan dituangkan ke dalam kata-kata adat dan perbilangan adat. Adat tidak dicipta daripada atas, tetapi tumbuh dari bawah. Adat Minangkabau yang dikatakan digubal oleh Datuk Perpatih nan Sebatang dan Dato’ Ketumanggungan dikatakan kurang tepat. Adat Perpatih merangkumi seluruh bidang undang-undang seperti proses perlantikan Yamtuan, Undang, Lembaga, Buapak dan sebagainya, peraturan dan penceraian, kedudukan suami dalam suku si isteri, peraturan pembahagian harta pusaka dan benda, peraturan tanah adat dan banyak lagi.’ (Abdullah Siddik: 1975).

Penghijrahan Orang Minangkabau

Menurut Norhalim Ibrahim, penghijrahan orang Minangkabau melalui dua tahap. Pertama, penghijrahan bersifat sementara-kekal berlaku dalam abad ke-13 hingga ke-15 Masihi. Kedua, penghijrahan kekal ialah bermula pada abad ke-14 Masihi dan seterusnya. Kedua-dua tahap penghijrahan ini dipercayai menggunakan laluan Sungai Linggi dan Sungai Rembau. Penghijrahan seterusnya ialah dengan melalui Sungai Muar. Orang Minangkabau melalui Sungai Muar hingga ke Sungai Serting dan sepanjang laluan tersebut mereka merantau ke pedalaman daerah Tampin, Kuala Pilah dan Jempol. Penghijrahan selanjutnya diteruskan hingga ke Jalan Penarikan dan terus melalui Sungai Serting hingga ke Sungai Pahang dan masuk ke Sungai Teriang dan Sungai Teriang ini berterusan hingga ke daerah Jelebu. Penghijrahan orang Minangkabau ke wilayah-wilayah luar adalah disebabkan beberapa faktor antaranya disebabkan konsep adat mereka sendiri yang sejak zaman berzaman cenderung keluar dari kampung asalnya untuk mencari tempat kediaman yang baharu di samping
mencari rezeki dan harta. Konsep ini disebut sebagai ‘merantau’ dan biasanya dilakukan oleh orang lelaki yang belum berkahwin mencari sumber ekonomi dan harta untuk diri sendiri. Kedatangan orang Minangkabau ke Negeri Sembilan dipercayai telah berlaku seawal abad ke-12 Masihi iaitu melalui Siak. Penghijrahan juga berlaku pada abad ke-13 Masihi kira-kira dalam tahun 1260 Masihi di mana orang Minangkabau yang menetap di Palembang telah merantau ke Temasik (Singapura) dan terus ke Negeri Sembilan. Di Sumatera, masyarakat Minangkabau lebih awal berhijrah dari negeri mereka ke daerah lain seperti di Siak dalam abad ke-7 hingga ke-12 Masihi dan di Palembang pada abad ke-7 hingga ke-11 Masihi. Menurut Prof. Norhalim, penghijrahan generasi pertama ialah dari Palembang ke Temasik (Singapura) dalam abad ke-11 hingga ke-12 Masihi. Manakala, penghijrahan generasi kedua ialah bermula pada abad ke-12 hingga ke-15 Masihi.Amalan merantau orang Minangkabau ini telah membawa kepada diaspora atau perluasan kawasan orang Minangkabau dan amalan adat Perpatih itu sendiri. Budaya merantau ini membentuk koloni Minangkabau di pantai barat Semenanjung Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Negeri Sembilan. Catatan Gerdinho de Eredia tahun 1613 menunjukkan telah wujud wilayah ‘Monancabos’ (Minangkabau) di pedalaman luar Melaka (De Josselin de Jong). Adalah sangat jelas, budaya atau amalan merantau ini telah menyebabkan orang Minangkabau membentuk kelompok koloni-koloni di merata negeri-negeri Melayu khususnya di Negeri Sembilan.

Suku-suku di Minangkabau, Sumatera.



Datuk Ketemenggungan dan Datuk Perpatih Nan Sebatang

Dalam Tambo Minangkabau menyatakan bahawa gelaran asal Datuk Ketemenggungan dan Datuk Perpatih Nan Sebatang ialah ‘Niniak Katumanggungan’ dan ‘Niniak Parpatiah’. ‘Perpatih’ dipercayai ada perkaitan dengan Pasai, Temasik dan Melaka. ‘Perpatih Nan Sebatang’ ada disebut di dalam Hikayat Raja Pasai iaitu ‘Perpatih Swatang’.9 Mereka berdua masing-masing menegakkan adat yang menjadi amalan kepada masyarakat di Minangkabau iaitu Bodi-Caniago dan Koto-Piliang. Bodi-Caniago dipercayai diasaskan oleh Dato’ Perpatih nan Sebatang dan diperkenalkan di Minangkabau. Adat ini diamalkan di daerah pendalaman Pagar Ruyung. Berdasarkan adat ini, sistem pewarisan harta pusaka, kuasa dan keturunan berasaskan matrilineal. Adat ini berasaskan Law of Ministers. Konsep demokrasi dalam pemilihan penyandang pusaka (jawatan). Manakala Koto-Piliang diasaskan oleh Dato’ Ketemenggungan dan diperkenalkan di Minangkabau. Adat ini diamalkan di daerah pesisir pantai dan muara sungai. Sistem pewarisan harta, takhta dan keturunan (nasab) adalah patrilineal. Nama lain adat ini ialah Law of the Minister for War and Police. Adat yang diamalkan oleh orang Melayu di pesisir pantai yang bercampur dengan adat yang dibawa oleh musafir India Hindu yang datang berdagang. Adat ini kemudiannya bercampur dengan hukum Islam yang dibawa pedagang Arab, Parsi dan Gujerat. Konsep pemilihan ketua atau raja berdasarkan keturunan anak lelaki.

Raja-Raja Minangkabau

1. Maharajo Di Rajo (Tambo Alam Minangkabau)
2. Sang Sapurba (Batu Bersurat di Minang)
3. Maharajo Inda (Tambo Alam Minangkabau)
4. Maharajo Sako
5. Adityawarman (Tambo Alam Minangkabau) 1347-1375
6. Rajo Hakad (Tambo Alam Minangkabau) 1375-1425
7. Sultan Bakilab Alam (Tambo Pagaruyung)
8. Sultan Pasambahan (Tambo Pagaruyung)
9. Sultan Alif (Tambo Pagaruyung)
10. Bandaharo, Indomo dan Tuan Kali sebagai pejabat sementara
11. Rajo Pagaruyung (Tambo Pagaruyung)
12. Sultan Pamandang (Tambo Pagaruyung) 1600-1650
13. Sultan Ahmad Syah (Tambo Pagaruyung) 1650-1680
14. Sultan Muning Syah I (Tambo Pagaruyung) 1680-1720
15. Sultan Muning Syah II (Tambo Pagaruyung) 1720-1770
16. Sultan Muning Syah III (Tambo Pagaruyung) 1770-1819
17. Sultan Alam Bagagar Syah (Tambo Pagaruyung) 1819-183310

__________________________________________________________________________
9 Ibid., M. Rasjid Manggis, hlm. 237.
10 Ibid., hlm. 89.


Negeri Sembilan dan Sejarahnya

Negeri Sembilan terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia dan berkeluasan kira-kira 2,565 batu persegi. Bentuk muka buminya bergunung-ganang dan diliputi oleh hutan hujan khatulistiwa. Negeri Sembilan mempunyai tiga batang sungai utama iaitu Sungai Linggi, Sungai Muar dan Sungai Teriang. Ketua pentadbiran tertinggi Negeri Sembilan ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan mempunyai beberapa luak (daerah). Empat buah luak utama yang diketuai oleh seorang Undang ialah luak Sungai Ujong, luak Jelebu, luak Rembau dan luak Johol. Manakala luak-luak yang lain pula diketuai oleh seorang Penghulu. Negeri Sembilan mengamalkan adat Perpatih dan digunapakai dalam sistem politik dan adat-istiadat. Undang Yang Empat ini bertanggungjawab dalam melantik Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Jawatan Undang pula dilantik oleh Lembaga Adat dan lembaga pula dilantik oleh Buapak dan seterusnya Anak Buah. Sistem ini dianggap satu kaedah demokrasi. Dalam penulisan sejarah Negeri Sembilan, ramai di kalangan mereka terdiri daripada orang barat seperti Martin Lister, D.F.A. Harvey, R.N. Blend, A.Hale, C.W.C. Parr dan ramai lagi.11

Penduduk Asal Negeri Sembilan

Sebelum kedatangan orang Minangkabau, daerah-daerah Negeri Sembilan telah pun mempunyai penduduk asli dari kumpulan Melayu-Proto. Menurut cerita tempatan, penduduk awal Negeri Sembilan ialah orang asli atau juga disebut ‘orang darat’. Kegiatan seharian mereka ialah berburu, memungut hasil hutan dan bercucuk tanam khususnya padi bukit. Mereka duduk secara berkelompok kecil dan diketuai oleh seorang ketua bergelar ‘Batin’. Mereka mengamalkan kepercayaan animisma’.12 Ketua bagi setiap daerah ini mereka dikenali sebagai Batin. Newbold memberi gelaran kepada mereka sebagai ‘Rayet Utan’. Orang Minangkabau yang datang telah berkahwin dengan wanita Jakun (1834:255; 1839:7). Winstedt menyatakan bahawa orang Jakun itu telah diIslamkan oleh orang Minangkabau. Masyarakat orang Jakun yang telah menganut agama Islam dan hidup bersama di kampung orang Minangkabau telah diberi nama baru iaitu ‘Orang Biduanda’.13 Gullick mendakwa bahawa perkahwinan di antara orang Minangkabau dengan orang asli hanyalah satu legenda dan beliau berpandangan bahawa orang asli telah berundur ke gunung atau bukit apabila orang Minangkabau tiba. Orang asli hanya mempunyai sedikit hubungan dengan orang Minangkabau.14 Penghijrah Minangkabau sendiri telah memperakui tentang adanya penduduk asli sebelum dan semasa mereka sampai di daerah-daerah Negeri Sembilan. Pengakuan mereka ini telah dikanunkan di dalam teromba atau perbilangan yang berbunyi:

Gagak hitam, gagak senoi,
Turun dari bukit, berkaki empat.
Bangau putih,
Datang dari laut, berkepak sayap.

Perbilangan tersebut mengisahkan tentang penduduk tempatan semasa kedatangan orang Minangkabau. Ungkapan ‘gagak hitam’ dan ‘gagak senoi’ tersebut bermaksud Orang Asli. Perkataan ‘Bukit’ menggambarkan tempat tinggal masyarakat Orang Asli yang terletak di kawasan hutan di pedalaman (atau di kawasan bukit). Ini berketepatan dengan perumpamaan yang digunakan oleh T.J. Newbold yang menyebutnya sebagai ‘Rakyat Hutan’. ‘Bangau Putih’ pula bermaksud orang pendatang Minangkabau yang atang dari laut atau lebih jelas daripada Selat Melaka. Mereka datang mungkin dengan menggunakan perahu layar yang di dalam perbilangan tersebut dilambangkan sebagai ‘berkepak bersayap’. Asal-usul tempat dan arah mana datangnya kedua-dua puak tersebut telah digambarkan dengan kata-kata ‘gagak’, ‘hitam’, ‘senoi’ dan ‘berkaki empat’ yang melambangkan suatu pencapaian taraf hidup yang masih rendah. Manakala perkataan ‘bangau’,’putih’ dan ‘berkepak sayap’ adalah simbol menyatakan tamadun puak mendatang adalah agak tinggi.15

Wilkinson memberikan tempoh di antara tahun 1450 hingga 1600 Masihi merupakan ‘Zaman Sakai’ (Sakai Period). Menurutnya, terdapat empat buah negeri Sakai iaitu Klang, Sungai Ujong, Jelebu dan Johol. Kesemua daerah ini terletak di bawah naungan Kerajaan Melayu Melaka dan kemudiannya kerajaan Johor. Menurut Sejarah Melayu, pada tahun 1450 Masihi daerah Kelang mempunyai seorang Penghulu bernama Tun Perak. Manakala Sungai Ujong diketuai oleh Tun Tukal. Di Jelebu dan Johol masih tidak dapat diketahui. Pada tahun 1707 Masihi, Rembau mempunyai seorang pembesar bergelar Bendahara Seri Maharaja.16

_________________________________________________________________________
11 R.J. Wilkinson, 1911. Negeri Sembilan History: Notes on the Negeri Sembilan IV, hlm. 281.
12 D.Lewis, 1962. The Minangkabau Malay of Negeri Sembilan: A Study. Xerox University, Michingan, Amerika, hlm. 16.
13 Ibid., Norhalim, hlm. 31.
14 Gullick, J.M., 1958. Indigenous Political Systems of Western Malaya, hlm. 7.
15 Ibid., Norhalim, hlm. 31-32.
16 Ibid., Wilkinson, hlm 283.


Batin Seri Alam mengetuai satu ekspidisi ke Jelebu dan menemui sebuah dulang yang berisi makanan. Tempat tersebut dinamakan ‘Kuala Dulang’. Kemudian, Batin Seri Alam menemui orang Islam dan dipercayai memeluk agama Islam.17 Pada awal abad ke-17 Masihi, terdapat bukti kewujudan daerah-daerah seperti Sungai Ujong, Johol dan Seri Menanti yang didiami oleh orang asli.18

Sekitar abad ke-16 Masihi, orang Minangkabau dari Sumatera datang dan mendiami di kawasan pesisir pantai yang terletak di selatan Negeri Sembilan (Sungai Ujong). Orang Minangkabau membawa dan memperkenalkan amalan dan adat mereka iaitu adat Perpatih. Sejak itu mereka memperkenalkan sistem sosial, politik, ekonomi dan agama kepada masyarakat orang asal. Mereka membawa sistem adat yang berteraskan kepada ‘matrilineal’. Dalam tempoh di antara abad ke-17, 18 dan 19 Masihi, orang Minangkabau bergerak atau merantau lebih dalam lagi ke kawasan pedalaman Negeri Sembilan. Orang Minangkabau mengahwini masyarakat orang asli. Merujuk sumber penulisan beberapa orang Eropah, Negeri Sembilan adalah gabungan beberapa negeri atau daerah kecil yang dinamakan ‘Luak’ yang diketuai oleh seorang Penghulu atau Undang. Daerah-daerah tradisional Negeri Sembilan terdiri daripada Sungai Ujong, Rembau, Jelebu, Johol, Inas, Gunung Pasir, Terachi, Ulu Muar dan Jempol.19

_________________________________________________________________________
17 Ibid., Wilkinson, hlm. 286.
18 Wilkinson, R.J., 1911. Notes On the Negeri Sembilan, Papers on Malay Subjects, Oxford University Press, hlm. 11.
19 Ibid., Lewis, hlm. 18.

Negeri Sembilan Awal

Sejarah awal Negeri Sembilan banyak bersumberkan hasil penulisan sarjana luar. Penulisan sejarah awal Negeri Sembilan dalam konteks sumber tempatan banyak merujuk kepada sumber lisan melalui penceritaan dari mulut ke mulut sejak ratusan tahun lagi. Pakar sejarah Negeri Sembilan, Nurhalim Ibrahim menyatakan bahawa kita tidak ada pilihan melainkan dengan merujuk dan melihat catatan sejarah daripada bangsa asing.20 Adalah jelas, daerah-daerah ini terletak di bawah beberapa kerajaan besar yang bermula dari kerajaan Sriwijaya, kerajaan Majapahit dan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.
Winstedt menyatakan antara bahagian atau daerah Negeri Sembilan yang terawal dikenal pasti ialah Sungai Ujong yang dipanggil sebagai ‘Sang Hyang Ujong’ seperti mana yang disebut di dalam catatan Nagarakartagama semasa era pemerintahan kerajaan Majapahit yang ditulis dalam tahun 1365 Masihi.21 Manakala Norhalim pula menjelaskan bahawa selain Sungai Ujong, buku Nagarakartagama ada mencatatkan terdapat satu lagi nama yang dianggap sebagai sebuah negeri yang menganggotai persekutuan Negeri Sembilan iaitu Kelang.22
Negeri Sembilan juga mempunyai bukti awal tentang kedatangan Islam dengan kewujudan makam dan batu bersurat di Pengkalan Kempas. Inskripsi dalam bahasa Melayu tersebut terdapat pada sebuah batu berbentuk segi empat. Ia mencatatkan nama Sheikh Ahmad Majanu (Majnun) yang meninggal dunia pada tahun 872 Hijrah atau bersamaan dengan tahun 1467 Masihi. Selain itu terdapat beberapa buah batu yang diukir seperti ‘batu kemudi’ dan ‘batu pedang’. ‘Batu kemudi’ mempunyai gambar berbentuk kuda dan ’batu pedang’ mempunyai kalimah ‘Allah’ yang dipercayai menyerupai batu makam putera Aditiawarman yang terdapat di Kubur Raja, Sumatera yang bertarikh tahun 1378 Hijrah.23
Menurut M. Rasjid Manggis, orang Minangkabau dipercayai mula merantau pada tahun 1160 Masihi dan destinasi mereka adalah ke Temasik (Singapura) dan seterusnya ke Johor dan Melaka.24 Norhalim Ibrahim berpandangan bahawa keadaan hidup dalam keadaan ketakutan menjadi faktor penolak bagi rakyat untuk keluar berhijrah.25 Peneroka dan pedagang Minangkabau telah merantau ke bahagian tengah kawasan Semenanjung terutama di Kelang dan Sang Hyang Hujung yang mungkin berlaku selepas zaman kejatuhan kerajaan Seriwijaya dan kebangkitan Majapahit. Dari
kawasan Sang Hyang Hujung mereka memudik ke pedalaman menerusi Sungai Linggi, Sungai Rembau dan Sungai Penajis untuk ke kawasan Rembau dan melalui Sungai Siput untuk ke Naning. Orang Minangkabau yang datang ke Semenanjung di sekitar abad ke-12 dan ke-13 Masihi terdiri daripada mereka yang ingin mencari penempatan baharu dan menjalankan perniagaan. Mereka juga terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan pertama yang datang untuk berdagang dan sampai masa-masa tertentu mereka akan balik ke tanah asal mereka dengan membawa kekayaan. Golongan kedua ialah mereka yang datang berniaga dan meneroka kawasan baru untuk mengusahakan pertanian dan menetap di kawasan tersebut. Sememangnya orang Minangkabau berhidup dengan kegiatan ekonomi yang menjadi darah daging mereka.26

Wilkinson pula menyatakan bahawa orang Minangkabau datang ke Semenanjung Tanah Melayu bermula pada abad ke-16 Masihi selepas kejatuhan kerajaan Melayu Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 Masihi. Orang Minangkabau menetap di Rembau dan Naning. Peta De’ Eredia (1613) mencatatkan daerah Johol, Seri Menanti dan Sungai Ujong. Eredia juga menjelaskan bahawa Sungai Ujong adalah negeri Sakai dan Naning terletak di bawah Portugis.27

Gullick menyatakan bahawa Negeri Sembilan terbentuk bermula dari satu ‘persatuan’ kepada ‘persekutuan’. De’ Eredia menulis dan melakarkan sebuah peta pada tahun 1613. Peta tersebut ada mencatatkan nama Naning (Nany) dan Rombo (Rembau) yang didiami oleh orang Minangkabau (Monancabos). D’ Eredia juga menyatakan daerah-daerah ini didiami oleh orang Minangkabau dan kepunyaan (kekuasaan) kerajaan Johor.28 Merujuk peta D’ Eredia, beberapa tempat lain turut ada dicatatkan antaranya Suneujon (Sungai Ujong), Lingue (Linggi), Jompol (Jempol), Sartin (Serting), Lucot (Lukut) dan Tanjontuan (Tanjung Tuan).

Zaman pembentukan Negeri Sembilan dipercayai berlaku di antara tahun 1640 hingga 1760. Wilkinson menyatakan tempoh tersebut adalah ruang untuk orang Minangkabau menyatukan sembilan negeri yang mereka kuasai. Bermula tahun 1639, kerajaan Johor menjalinkan kerjasama erat dengan Belanda. Ketika itu Johor diperintah oleh Sultan Abdul Jalil II. Kerjasama Johor-Belanda adalah bertujuan untuk menjatuhkan kekuasaan Portugis di Melaka. Kerajaan Johor mula menjalinkan hubungan baik dengan orang Minangkabau di pedalaman Melaka dan mula menguasai Negeri Sembilan. Menurut Wilkinson, ini merupakan era baharu bagi orang Minangkabau. Pada tahun 1705, pembesar Minangkabau di Naning iaitu Penghulu Naning menerima pengiktirafan dan gelaran dari Sultan Johor yang turut dipersetujui oleh pihak Belanda. Pada tahun yang sama, Rembau juga mendapat pengiktirafan melalui pengurniaan cap mohor dan gelaran ‘Bendahara Seri Maharaja’. Beberapa tahun selepas itu, Dato’ Bandar Sungai Ujong juga menerima pengiktirafan yang sama dari Johor. Pada tahun 1760, Penghulu Jelebu, Dato’ Moyang Salleh menerima cap mohor dan gelaran Sultan Jelebu daripada Sultan Johor, Sultan Abdul Jalil Muadzam Syah. Begitu juga Inas yang turut menerima pengiktirafan yang sama. Wilkinson menyenaraikan ‘Negeri Sembilan’ terdiri daripada Naning, Rembau, Sungai Ujong, Jelebu, Kelang, Inas, Pasir Besar, Segamat dan Johol. Orang Minangkabau juga dipercayai terus mengukuhkan kedudukan mereka di Inas, Johol, Gemenceh, Terachi, Gunung Pasir, Jempol dan Ulu Muar. Menurut Wilkinson, kekacauan politik yang dihadapi oleh kerajaan Johor di antara tahun 1700 hingga 1760 Masihi telah menyebabkan Johor menganugerahkan cap mohor dan gelaran bagi mendapatkan sokongan daripada orang Minangkabau. Bagaimanapun, kelemahan kerajaan Johor telah menyebabkan berlakunya peningkatan populasi penghijrah Minangkabau di Negeri Sembilan.29 Dicatatkan bahawa Alex Hamilton yang melawat Melaka dan Johor pada tahun 1700 menyatakan: “orang hulu ramai yang memusuhi pihak Belanda dan orang hulu itu dari keturunan bangsa Minangkabau”.30 Tambah Wilkinson lagi, ketua-ketua daerah bagi Kelang, Pasir Besar dan Segamat dipercayai ‘hilang’ dari catatan sejarah kerana cap mohor mereka tidak dapat dikesan. Wilkinson menjelaskan bahawa tiada sebab untuk meragui kewujudan ‘Negeri Sembilan’ yang terbentuk daripada Naning, Rembau, Sungei Ujong, Jelebu, Kelang, Inas, Pasir Besar, Segamat dan Jelai.31
___________________________________________________________________________
20 Norhalim Ibrahim, 1995. Negeri Yang Sembilan, Shah Alam: Penerbitan Fajar Bakti, hlm. 15.
21 Winstedt, R.O., 1934. Negeri Sembilan – The History, Polity and Beliefs of the Nine States, JMBRAS 12(3), 1934, hlm. 42.
22 Ibid., Norhalim, hlm. 14.
23 Wilkinson, 1923. A History of the Peninsula Malay. Third Revision Edition, Oxford University Press, hlm. 24-25.
24 M.Rasjd Manggis Dato’ Radjo Panghoeloe, 1982. Sejarah Ringkas Minangkabau dan Adatnya. Penerbit Mutiara Jakarta, hlm. 76.
25 Norhalim Ibrahim, 1998. Negeri Yang Sembilan. Penerbitan Fajar Bakti, Shah Alam, hlm. 43.
26 Ibid., hlm. 45-46.
27 Ibid., Wilkinson, hlm. 289.
28 Gullick, J.M., 2003. A History of Negeri Sembilan. Kuala Lumpur: MBRAS, hlm. 11.

Pembentukan Kerajaan Negeri Sembilan

Sejarah Negeri Sembilan kebanyakannya bersumberkan kepada hasil penulisan pegawai-pegawai kolonial khususnya Belanda dan British. Pegawai-pegawai British yang pernah berkhidmat di Negeri Sembilan berminat mengkaji dan menulis berkaitan sejarah khususnya di darah-daerah tempat mereka berkhidmat sebagai Pegawai Daerah. Menurut Winstedt, nama ‘Negeri Sembilan’ itu disebut secara rasmi buat pertama kali dalam perjanjian bertarikh 11 November 1759. Perjanjian tersebut ditandatangani oleh David Bulen iaitu Gabenor Belanda di Melaka, Yamtuan Muda Daeng Kemboja dari Linggi, Raja Tua dari Kelang dan Ketua-ketua dari Rembau dan Negerinya yang Sembilan (Rembau and its nine countries).32

T.J. Newbold mencatatkan bahawa Negeri Sembilan terdiri daripada Naning, Sungai Ujong, Johol, Segamat, Jelebu, Kelang, Rembau, Ulu Pahang dan Jelai.33 Martin Lister pula berpandangan bahawa wilayah asal Negeri Sembilan terdiri daripada Kelang, Sungai Ujong, Johol, Jelebu, Naning, Rembau, Pasir Besar, Jelai dan Segamat. Beliau memasukkan Ulu Pahang dan mengugurkan Pasir Besar.34 Menurut Wilkinson pula, Negeri Sembilan adalah terdiri daripada Naning, Rembau, Sungei Ujong, Jelebu, Kelang, Inas, Pasir Besar, Segamat dan Jelai.35 Manakala Winsted dan Nathan akhirnya mengubah senarai itu kepada: Sungei Ujong, Jelebu, Rembau, Naning, Kelang, Segamat, Pasir Besar (sekarang Johol), Jelai (sekarang Inas) dan Ulu Pahang (kawasan antara Ulu Serting dengan Temerloh). Semua penulis ini percaya adanya Sembilan daerah atau luak. Mengikut pandangan Josselin de Jong pula, angka ‘sembilan’ itu merupakan sekadar angka ideal dan Negeri Sembilan didakwa tidak pernah wujud sebagai Sembilan daerah atau luak. Pada tahun 1889, apabila Rembau, Johol dan Seri Menanti bersatu, namanya tetap Negeri Sembilan walaupun hanya ada tiga daerah atau luak. Pada tahun 1898, wujud 13 daerah atau luak dan pada tahun 1934 mempunyai 12 daerah atau luak.36

Perbezaan pandangan tersebut adalah berdasarkan penelitian dan penyelidikan yang dilaksanakan oleh mereka secara ilmiah. Bagaimanapun, kesemua mereka berpandangan bahawa daerah Negeri Sembilan tidak melebihi sembilan buah daerah.

Pembentukan Negeri Sembilan yang ada sekarang adalah berasaskan kepada satu perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1887. Perjanjian tersebut dimertai di antara Gabenor Negeri-negeri Selat dengan Yang di-Pertuan Seri Menant, Penghulu-penghulu luak kawasan ini hingga membentuk sebuah persekutuan yang dikenali sebagai Negeri Sembilan. Satu lagi perjanjian telah dibuat pada tahun 1898 di antara Yang di-Pertuan Seri Menanti iaitu Tuanku Muhammad dengan Dato’-Dato’ Undang Yang Empat kerana melantik baginda sebagai ketua pemerintah bagi seluruh Negeri Sembilan yang bergelar Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
___________________________________________________________________________
29 Ibid., Wilkinson, hlm. 291-292.
30 M.Rasjd Manggis Dato’ Radjo Panghoeloe, 1982. Sejarah Ringkas Minangkabau dan Adatnya. Penerbit Mutiara Jakarta, hlm. 76.
31 Wilkinson, R.J., 1911. Notes On the Negri Sembilan. Papers On Malay Subjects, Oxford University Press, 1971, hlm. 289-290
32 Winsted, R.O., 1934. Negri Sembilan: The History and Beliefs of the Nine States. JMBRAS 12 (3), hlm. 35-114.
33 Hooker, 1970. Readings in Malay Adat Laws. Singapore: Singapore University Press, hlm. 333.
34 Martin Lister, 1887. The Negri Sembilan Their Origin and Constitution, JBRAS No. 19, hlm. 38.
35 Ibid., hlm. 290.
36 Nordin Selat,1976. Sistem Sosial Adat Perpatih. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. hlm. 56-57



Pembentukan Adat Perpatih di Negeri Sembilan

Adat Perpatih yang diamalkan oleh masyarakat Melayu Negeri Sembilan dan Naning adalah gadungan sekurang-kurangnya tiga sistem kemasyarakatan iaitu Sistem Adat Minangkabau yang terdiri daripada tiga sistem iaitu Adat nan Tigo, Adat Ekol Baleh dan Adat Tuah Disakato, Sistem Adat Tempatan Siak dan Sistem Adat Tempatan Negeri Sembilan dapat dilihat seperti berikut:





Sistem Pentadbiran Moden dan Adat

Kemasukan penjajah pada akhir abad ke-19 telah mewujudkan dua sistem pentadbiran iaitu pentadbiran birokrasi moden dan sosiopolitik adat di Negeri Sembilan. Birokrasi moden membahagikan Negeri Sembilan kepada daerah yang dipecahkan kepada mukim, manakala sosiopolitik adat mengekalkan strukturnya. Namun pentadbiran adat, adat istiadat dan agama sahaja. Malah, pemimpin adat juga hilang kuasa dalam pewarisan harta tanah adat kerana kuasa terletak di tangan pegawai daerah dan datuk adat hanya berfungsi sebagai penyiasat dan saksi. Penghulu atau Undang pula hanya teribat jika kes pewarisan tanah ini menemui masalah dan harus dibawa ke peringkat rayuan. Pada tahun 1959, institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Undang yang Empat telah dijadikan sebahagian daripada Perlembagaan Negeri Sembilan. Melalui Perlembagaan ini diwujudkan dewan tertinggi adat yang dinamakan Dewan Keadilan dan Undang. Oleh itu, kuasa mutlak pemimpin adat telah diambil alih oleh kerajaan moden.

Pemisahan antara negeri dan adat:

* Yang di-Pertuan Besar, Undang dan Penghulu Luak mempunyai juradiksi atas agama dan adat sahaja.
* Pemisahan antara undang-undang sivil dan undang-undang adat; dengan undang-undang sivil mengatasi undang-undang adat.
Konsep raja di Negeri Sembilan adalah orang yang dijadikan raja dan diberi gelaran Yang di-Pertuan Besar. Negeri Sembilan mempunyai Yang di-Pertuan Besar pada awal abad ke-18 Masihi. Untuk tempoh selama lebih kurang seabad, raja-raja Negeri Sembilan dibawa dari Pagar Ruyung dan Minangkabau seperti kata perbilangan.

Beraja ke Johor,
Bertali ke Siak,
Bertuan ke Minangkabau

Yang di-Pertuan Besar terakhir dari Pagar Ruyung telah dipecat dan bermula dari tarikh itu, anak raja tempatan berketurunan Yang di-Pertuan Pertama telah dilantik dan ditabalkan. Apabila institusi ini ditubuhkan, gelaran raja Negeri Sembilan adalah Yang di-Pertuan Besar Seri Menanti. Baginda hanya berkuasa di Seri Menanti dan luak-luak sekitarnya yang dikenali sebagai Luak Tanah Mengandung. Pada akhir abad ke-19 Masihi, iait sebelum penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, gelaran baginda telah ditukar menjadi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan atas persetujuan Undang Yang Empat.

Anak Raja Pagar Ruyung:
1. Raja Melewar
2. Raja Hitam
3. Raja Lenggang
4. Raja Labu

Anak raja tempatan:
1. Yamtuan Radin
2. Yamtuan Antah
3. Tuanku Muhammad
4. Tuanku Abdul Rahman
5. Tuanku Munawir
6. Tuanku Jaafar
7. Tuanku Muhriz

Luak berpenghulu,
Alam (negeri) beraja

Sistem Pentadbiran Moden di Negeri Sembilan

Negeri Sembilan pada hari ini dibahagikan kepada dua sistem pentadbiran iaitu pentadbiran politik moden dan pentadbiran adat. Dalam pentadbiran politik moden, Negeri Sembilan mempunyai tujuh buah daerah iaitu Seremban, Jelebu, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau, Jempol, dan Tampin. Dalam pentadbiran adat pula, Negeri Sembilan mempunyai beberapa luak adat iaitu Seri Menanti, Tampin, Sungai Ujong, Jelebu, Johol, Rembau, Ulu Muar, Jempol, Terachi, Gunung Pasir, Inas, Gemenceh, Ayer Kuning dan Linggi. Teraju politik tertinggi di Negeri Sembilan ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Yang di-Pertuan Besar

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dipilih dan dilantik daripada kebulatan muafakat di antara Undang Yang Empat dengan Tuanku Besar Tampin. Yang di-Pertuan Besar berperanan sebagai ketua agama Islam dengan dinasihati oleh Majlis Hal Ehwal Agama Islam. Baginda juga bertanggungjawab dalam adat istiadat negeri dan dinasihati oleh Dewan Keadilan dan Undang. Yang di-Pertuan Besar bersemayam di Seri Menanti yang terletak di dalam Luak Ulu Muar. Baginda tidak campur tangan dalam hal ehwal luak-luak yang lain.
Berdasarkan sejarah, sebelum kemasukan British, Yang di-Pertuan Besar dipilih oleh Penghulu Luak Ulu Muar. Apabila British campur tangan di Negeri Sembilan, Yang di-Pertuan Besar dilantik oleh Undang Yang Empat iaitu Undang Luak Sungai Ujong,
Undang Luak Jelebu, Undang Luak Rembau dan Undang Luak Johol. Pemilihan Yang di-Pertuan Besar berdasarkan kepada latar belakang keturunan, kebaikan tingkah laku dan calon mestilah mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Yang di-Pertuan Besar yang mangkat mengikut sebelah bapa.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan (1773-2017)

1. Raja Melewar (1773-1795)
2. Raja Hitam (1795-1808)
3. Raja Lenggang (1808-1824)
4. Raja Radin (1824-1861)
5. Yamtuan Imam (1861-1869)
6. Tengku Ampuan Intan (1869-1872) – memangku
7. Tuanku Antah (1872-1888)
8. Tuanku Muhammad (1888-1933)
9. Tuanku Abdul Rahman (1933-1960)
10. Tuanku Munawir (1960-1967)
11. Tuanku Jaafar (1967-2008)
12. Tuanku Muhriz (2008-kini)

Sistem Suku, Undang dan Institusi Adat di Empat Luak Utama

Suku

‘Suku’ bermaksud ‘kaki’ dan secara simboliknya dianggap salah satu dari kaki binatang berkaki empat. Menurut legenda Minangkabau, tempat asal Adat Perpatih terbahagi kepada dua orang adik-beradik iaitu Datuk Katemanggungan dan Datuk Perpatih nan Sebatang. Datuk Katemanggungan menguasai Koto-Piliang dan Datuk Perpatih nan Sebatang menguasao Bodi-Caniago yang membentuk empat suku utama iaitu Koto, Piliang, Bodi dan Caniago. Empat suku utama ini berkembang dan membesar sehingga menjadi lebih kira-kira 40 suku dan beratus-ratus suku kecil di Minangkabau. Apabila orang Minangkabau datang ke Negeri Sembilan, mereka tinggal secara berkelompok-kelompok. Biasanya nama kelompok atau suku mereka diambil sempena nama tempat asal mereka di Minangkabau. Ada juga suku yang berpecah dua seperti Suku Seri Lemak yang terbahagi kepada Seri Lemak Minangkabau dan Seri Lemak Pahang.37 Suku dipecahkan kepada bahagian yang kecil dipanggil ‘Perut’. Perut diketuai oleh Buapak dan anggota di dalam Perut dikenali sebagai Anak Buah. Perut dipecahkan kepada ‘Ruang’ dan seterusnya dipecahkan kepada ‘Rumpun. Buapak diketuai oleh Lembaga. Lembaga diketuai oleh Dato’ Undang/Penghulu. Dato’ Undang merupakan pemerintah bagi luak-luak. Terdapat 12 Suku di Negeri Sembilan iaitu:

1. Suku Biduanda
2. Suku Batu Hampar
3. Suku Paya Kumbuh
4. Suku Mungkal
5. Suku Tiga Nenek
6. Suku Seri Melenggang
7. Suku Seri Lemak
8. Suku Batu Belang
9. Suku Tanah Datar
10. Suku Anak Acheh
11. Suku Anak Melaka
12. Suku Tiga Batu

UNDANG

Perlantikan Penghulu dan Undang

Undang dan Penghulu adalah ketua kepada Luak. Umumnya di Negeri Sembilan sekarang, terdapat 9 luak iaitu Seri Menanti (tempat bersemayam Yangh Di Pertuan Besar), di sekelilingnya ialah luak Ulu Muar, Jempol, Terachi, Gunung Pasir dan Inas. Mengelilingi luak-luak ini pula ialah luak Sungai Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau. Luak Ulu Muar, Jempol, Terachi, Gunung Pasir dan Inas dikenali sebagai Luak Tanah Mengandung. Tanah Mengandung membawa pengertian tanah ibunda yang selaras membawa konotasi kawasan tempat bersemayamnya Yang Di Pertuan Besar. Tetapi Yang Di Pertuan Besar tidak merupakan ketua Luak Tanah Mengandung walaupun Sri Menanti terletak dalam Luak Ulu Muar.

Bahkan Penghulu-penghulu Luak ini bertanggungjawab menjaga baginda. Yang paling bertanggungjawab ialah Penghulu Luak Ulu Muar terutama apabila yang Di Pertuan Besar mangkat, beliau bertanggungjawab membawa berita itu kepada Undang Yang Empat.

Kedudukan Undang

Dalam membahaskan tentang kedudukan kuasa Undang ini kita boleh memandang daripada dua segi, pertama hubungannya dengan pegawai-pegawai di bawahnya seperti Lembaga dan Buapak dan kedua perhubungannya dengan tadbiranm baharu.
1. Perhubungannya dengan pegawai-pegawai di bawahnya iaitu Lembaga dan Buapak
Sekerat perbilangan Adat Perpatih berkata:

“Adat yang berjenjang naik dan bertangga turun”.

Ini adalah menentukan sekatan kuasa-kuasa bagi pegawai-pegawai dalam tadbiran adat ini. Umpamanya Lembaga itu ialah ketua bagi seluruh sukunya itu dan sekiranya ada satu-satu hal dalam suku itu yang timbul, maka perkara itu mestilah dibawa kepada pengetahuan Lembaga itu dahulu sebelum dibawa kepada pengetahuan Undang misalnya. Begitu juga satu-satu hal dalam perut itu mestilah diselesaikan oleh Buapak itu terlebih dahulu sebelum dibawa kepada Lembaga. Dan juga Undang itu adalah hasil lantikan daripada Lembaga-Lembaganya.
“Kebulatan tua boleh membuat atau memecat Undang” dan juga satu-satu keputusan mengenai tadbiran dalam luak yang diambil oleh Undang itu mestilah mendapat persetujuan Lembaga-Lembaganya atau Buapak_Buapaknya mengikut susunan tadbiran Luak itu.

Tetapi pada hari ini daripada kajian pertikaian di Jelebu, Johol dan di Rembau terdapat kecenderungan bagi pihak Undang hendak mencuba mengambil kuasa Lembaga itu ke tangannya sendiri, mungkin dengan sengaja dan mungkin dengan tidak sengaja. Dalam pengambilan kuasa Lembaga oleh pihak Undang dalam rupa yang begini nyata, maka terjadilah pertikaian antara pihak Undang dan pihak Lembaga atau Buapak yang tertentu.

Dalam pertikaian ini bermacam-macam perkara lain timbul, hal perselisihan perseorangan hal hendak menjadikan saudaranya atau anak buahnya Undang, hal, hendak membawa kembali kedudukan adat itu kepada sediakala supaya pihak Lembaga akan mendapat kuasa yang lebih banyak lagi daripada sekarang.

Bagi pihak Undang pula tindakan serang balas terutamanya banyak menjaga kedudukan dan keselamatannya sendiori diambilnya pula seperti menggunakan pengaruhnya bagi memberhentikan pernsion Dato’ Dato’ Lembaga dan Buapak itu dan juga akan menggunakan kluasa dan pengaruhnya bagi memecat pegawai-pegawai yang cuba hendak mendatangkan tentangan terhadapnya. Dalam pergaduhan antara Lembaga dan Undang ini pihak kerajaan sentiasa mencuba seberapa bolehnya tidak mencampuri dalam pertikaian itu dan meminta sedfapat-dapatnya pegawai-pegawai adat itu berselesaian dan berdamaian antara mereka.

Dalam kajian pengkajio pihak kerajaan adalah enggan sekali mengambil tindakan seperti bersetuju hendak memecat Undang itu yang akan mendatangkan beberapa kerumitan dan membanyakkan urusan-urusan kerajaan. Pendek kata pihak kerajaan akan lebih rela Lembaga-Lembaga atau Buapak-Buapak itu yang bersangkutan dalam pertikaian itu supaya terpecat kerana pemecatan dan pemilihan Lembaga dan Buapak tidak mendatangkan tanggungjawab kepada kerajaan. Di samping itu peribadi seseorang Undang itu adalah menjadi factor yang kuat juga bagi menentukan kekuatan pengaruhnya dalam luak itu. Dengan secara tidask rasmi Undang itu berpengaruh juga dalam hal menentukan calon-calon yang akan berjaya bagi jawatan seperti kadhi, guru agama, inspector zakat dan alim-alim kampong dalanm luak itu.

2. Perhubunganya dengan tadbiran kerajaan

Sebelum kedatangan tadbiran baru Undang itu adalah seolah-olah sebagai raja dalam luaknya yang dibantu oleh pegawai-pegawainya yang terdiri daripada Dato’ Lembaga, Buapak dan pegawai lain bagi menjalankan berbagai-bagai kerja tadbiran luaknya. Dialah pengadil tertinggi, ialah menjadim ketua tentera, ketua polis, pemungut cyukai, pemimpin dalam segala hal bagi penduduk dalam luaknya itu. Tetapi dengan kedatangan tadbiran baharu semua urusan tersebut diambil oleh berbagai-bagai jabatan yang tertentu seperti jabatan tadbiran, polis, kehakiman dan lain-lain lagi.

Keadaan hal ini bukanlah teristimewa berlaku di Negeri Sembilan sahaja bahkan juga adalah perkara umum bagi seluruh negeri-negeri di Persekutuan Tanah Melayu ini. Berhubung dengan kerajaan pusat Undang itu adalah juga mempuynyai kuasa-kuasa yang tertentu seperti yang termaktub dalam perlembagaan Negeri Sembilan. Satu-satu perjanjian yang hendak dibuat mengenai Negeri Sembilan persetujuan dan tanda tangan Dato’ Dato’ Undang itu adalah diperlukan dan sama juga kuasanya dengan Yang Di Pertuanm Besar.

Bersama dengan Yang Di Pertuanm Besar Dato’ Undang itu juga mempunyai hak-hak istimewa bagi meluluskan satu-satu Undang-Undang dengan tidak menantikan Mesyuarat Majlis Negeri kalau difikirkannya perlu. Tetapi kuasa-kuasa ini adalah tersimpan dalam perlembagaan sahaja, sedangkan dalam amalannya tidak pernah digunakan oleh Dato’ Undang itu.
Struktur pemimpin politik luak Adat Perpatih Negeri Sembilan terdiri daripada:

1. Undang Yang Empat
Pusaka Undang digilirkan dalam kalangan Perut Suku Biduanda Waris
2. Penghulu Luak Tanah Mengandung
Pusaka penghulu digilirkan dalam kalangan Perut Suku Biduanda Waris kecuali Penghulu Luak Terachi dari kalangan Perut Suku Seri Lemak Pahang dan Luak Gunung Pasir dari kalangan Perut SUku Tanah Datar.
3. Tunku Besar Tampin
Tunku Besar Tampin merupakan pemimpin tertinggi Luak Tampin. Pusaka Tunku Besar Tampin tidak digilirkan tetapu diturunkan daripada ayah kepada anak lelaki. Oleh itu, Tunku Besar Tampin tidak mengamalkan Adat Perpatih. Di bawah Tunku Besar Tampin terdapat empat orang penghulu iaitu Penghulu Pusaka Tampin Tengah, Penghulu Pusaka Keru, Penghulu Pusaka Repa dan Penghulu Pusaka Tebong. Penghulu-penghulu pusaka ini digilirkan daripada kalangan Perut Biduanda Waris.
4. Luak Kecil yang terdiri daripada:
i. Gemenceh
ii.Air Kuning
Kedua-dua luak kecil ini bernaung di bawah Undang Luak Johol. Pemimpin adat kedua-dua luak kecil ini dipanggil Penghulu Pusaka. Pusaka ini digilirkan daripada kalangan Perut Suku Biduanda.

___________________________________________________________________________
37 Nordin Selat, 1976. Sistem Sosial Adat Perpatih. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., hlm. 39-40.


LUAK

Luak atau disebut Luhak adalah bahasa Minangkabau yang bermaksud daerah atau jajahan. Menurut Nordin Selat, Negeri Sembilan mempunyai 14 buah luak iaitu: Seri Menanti, Tampin, Sungai Ujong, Jelebu, Johol, Rembau, Ulu Muar, Jempol, Terachi, Gunung Pasir, Inas, Gemenceh, Ayer Kuning dan Linggi. Bagaimanapun, daripada 14 luak tersebut, hanya empat luak dianggap utama iaitu Sungai Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau. Empat luak tersebut diketuai oleh seorang yang bergelar Undang. Manakala, ketua bagi luak Tampin ialah Tengku Besar Tampin dan ketua bagi Seri menanti ialah Yang di-Pertuan Besar. Bagi luak-luak selebihnya diketuai oleh seorang Penghulu.

LUAK SUNGAI UJONG

Kepimpinan tertinggi dalam institusi adat di Sungai Ujong ialah Dato’ Undang Sungai Ujong yang bergelar Dato’ Kelana Petra. Sistem pemilihan Undang Sungai Ujong hanya melibatkan Waris Kelana yang dibahagikan kepada dua perut iaitu Perut di Hulu dan Perut di Hilir. Perlantikan seseorang Undang Sungai Ujong akan ditentukan oleh satu jawatankuasa yang dianggotai oleh Ketua Waris bagi Perut di Hulu (Dato’ Johan), Ketua Waris bagi Perut di Hilir (Dato’ Maharajalela) dan seorang Waris Tertua yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang urusan adat dan pesaka di Luak Sungai Ujong. Sungai Ujong mempunyai Lembaga Tiang Balai yang terdiri daripada:
1) Dato’ Andika Waris Di Darat
2) Dato’ Seri Maharaja Di Raja Waris Di Air
3) Dato’ Akhirzaman Waris Rantau
4) Dato’ Dagang (Paroi) dan Dato’ Penghulu Muda (Labu)

LUAK JELEBU

Kepimpinan tertinggi dalam institusi adat di Jelebu ialah Dato’ Undang Jelebu yang bergelar Dato’ Mendika Menteri Akhirul Zaman. Di bawah Dato’ Undang ialah Lembaga Tiang Balai Luak Jelebu yang juga dikenali sebagai Dato’-Dato’ Lembaga Delapan (lapan). Orang Besar Delapan Luak Jelebu ialah Kepala Waris dan suku-suku atau Dato’-Dato’ Lembaga yang memegang kuasa untuk menjalankan adat mengikut perlembagaannya. Dato’-Dato’ Lembaga dilantik oleh buapak atau perut mengikut giliran perut dan menerusi sesuatu istiadat kerjan. Sebagai ketua suku, Dato’ Lembaga bertanggungjawab untuk menjada keharmonian sukunya. Di dalam menjalankan tanggungjawab ini, Dato’-Dato’ Lembaga berkuasa untuk menyelesaikan sebarang perkara yang berlaku di kalangan anggota sukunya. Tetapi kuasa yang ada pada Dato’ Lembaga ini tidaklah sama dengan kuasa yang ada pada Dato’ Undang. Ini adalah kerana perbilangan adat telah menetapkan bahawa kuasa Undang berkelantasan, manakala kuasa Dato’-Dato’ Lembaga pula bersekat. Di antara Dato’-Dato’ Lembaga yang ada di Jelebu, ada di antara mereka yang mempunyai status yang lebih tinggi. Ketinggian status ini digambarkan melalui kuasa yang ada pada mereka iaitu kuasa untuk melantik Undang. Jika Undang memiliki gelaran Yang Teramat Mulia (YTM), Dato’-Dato’ Lembaga pula mempunyai gelaran kebesaran Yang Mulia (YM).

Sekiranya berlaku kemangakatan seseorang Dato’ Undang, Dato’-Dato’ Lembaga akan mencari dan memilih calon yang hanya daripada tiga waris berundang sahaja iaitu Waris Ulu Jelebu, Waris Sarin dan Waris Kemin. Ketiga-tiga waris berundang ini memegang jawatan Undang secara bergilir-gilir. Dato’-Dato’ lembaga menjadi pembesar adat di luak Jelebu di samping mengetuai suku masing-masing. Gelaran dan dan Suku-suku ini adalah:



LUAK JOHOL

Kepimpinan tertinggi Luak Johol ialah Dato’ Undang Luak Johol yang bergelar Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan. Undang Johol dipilih saripada dua perut dari suku Waris Biduanda iaitu Perut Johol dan Perut Gemenceh. Pada prinsipnya kedua-dua perut ini akan menyandang pesaka Undang secara bergilir-gilir. Institusi Undang di Johol sangat unik dan berbeza daripada tiga luak yang lain. Ini kerana institusi di Johol ini mempunyai satu jawatan khas iaitu Baginda Tan Mas yang berperanan sebagai Pemangku Undang. Pemangku Undang akan menjadi Undang secara automatik sekiranya Undang mangkat. Baginda Tang Mas juga bergelar ‘haluan sembah’ bagi Dato’ Undang Johol kerana mempunyai bidang kuasa untuk mewakili Undang dalam pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan mengundi secara (proksi). Jawatan Undang dan Baginda Tan Mas diisi berdasarkan giliran bagi Perut Johol dan Perut Gemenceh. Sekiranya Undang dilantik dari Perut Johol, maka jawatan Baginda Tan Mas akan diisi oleh Perut Gemenceh dan seterusnya.
Bagaimanapun, kedua-dua jawatan tersebut tidak boleh diisi oleh perut yang sama. Pemilihan Undang Johol dibuat oleh Dato’ Jenang dan Buapak Yang Enam. Dato’ Jenang merupakan kepala Waris Biduanda dan Kepala Buapak Biduanda Yang Enam.

Dato’-Dato’ Lembaga Tiang Balai Luak Johol


___________________________________________________________________________
38 Wan Abdul Kadir dan Abdul Rahman, 1976. Adat Istiadat Kerjan Undang Johol Ke-XI. Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, hlm. 14.


LUAK REMBAU

Kepimpinan tertinggi Luak Rembau ialah Dato’ Undang yang bergelar Dato’ Sedia Di Raja/Dato’ Lela Maharaja.39 Institusi Adat di Rembau hampir menyerupai sturktur adat di Jelebu kerana mempunyai institusi Lembaga Tiang Balai yang mengandungi lapan orang Dato’ Lembaga atau Lembaga Yang Delapan. Lembaga ini terdiri daripada dua wilayah iaitu Daerah Baroh dan Daerah Darat. Berikut merupakan senarai Dato’ Lembaga Yang Delapan:


Proses pemilihan calon Undang Rembau dimulakan dengan mesyuarat di antara Buapak-buapak daripada 8 buah kampung yang diduduki oleh Perut Lela Maharaja dan Perus Sedia Raja. Mesyuarat akan diketuai oleh Dato’ Perba iaitu Dato’ Lembaga Waris Biduanda. Dato’ Perba akan bermesyuarat dengan Orang Besar Undang Berempat yang terdiri daripada

1) Dato’ Shahbandar
2) Dato’ Mangku Bumi
3) Dato’ Menteri Lela Perkasa
4) Dato’ Raja Di Raja

Sistem pemilihan Undang di Luak Rembau akan melibatkan pemilihan dan pengesahan di antara Baroh dan Darat. Sebagai contoh, sekiranya Di Baroh telah membuat pilihan dan nama calon tersebut akan diberitahu kepada waris-waris Di Darat untuk mengesahkannya. Sistem ini berdasarkan perbilangan adat:

Yang sebelah Baroh menjadikan
Yang sebelah Darat mengakui

__________________________________________________________________________
39 Kedua-dua gelaran tersebut merupakan gelaran mengikut giliran waris yang dilantik menjadi Undang Rembau. Di Rembau, hanya terdapat dua waris sahaja yang layak iaitu Waris Jawa (Dato’ Sedia Di Raja) dan Waris Jakun (Dato’ Lela Maharaja).

LEMBAGA

Pengertian Dato’ Lembaga
Ketua kelompok kekeluargaan suku. Pusaka ini mempunyai gelaran tertentu dan dipanggil Dato’. Seorang Lembaga akan menyandang pusaka itu untuk seumur hidup. Namun begitu, Lembaga boleh dipecat seperti kata perbilangan:

Bulat Buapak boleh memecat dan menjadikan Lembaga

Jika Lembaga melakukan salah satu atau lebih kesalahan berikut:

Melindungkan, mengendapkan
Pecah, menghilangkan
Mencacatkan
Terkurung mati

Lembaga hanya memerintah suku dan Buapak yang memerintah anak buah. Peraturan ini termaktub dalam perbilangan:

Alam beraja
Luak berpenghulu
Suku berlembaga
Anak buah berbuapak

Tatacara Pemilihan Dato’ Lembaga

Perlantikan Lembaga adalah atas kata sepakat anak buah dan Buapak. Maksudnya Buapak memainkan perana penting dalam memilih calon seseorang Lembaga apabila seseorang Lembaga itu meninggal dunia. Pemilihan ini pula perlu persetujuan daripada anak buah, walaupun kuasa terletak kepada Buapak. Buapak yang terlibat hanya Buapak dari perut dalam suku itu sahaja. Ketua perut dari suku lain berhak melantik Lembaga dalam suku mereka sendiri sahaja.

Pemilihan Buapak terhadap Lembaga itu adalah mengikut kelayakan serta syarat-syarat yang dinyatakan sebelum ini, di samping mengambil kira tentang kedudukan isterinya. Seorang Lembaga itu mestilah berkahwin dalam luaknya atau masyarakat Negeri Sembilan sendiri. Biasanya si suami tinggal di rumah si isteri atau balai sementara rumah kediaman di sebelah ibu digelar telaga. Jika seseorang Lembaga berkahwin dengan orang luar dari luaknya maka timbul masalah untuk menentukan tempat kediamannya.

Berdasarkan kebulatan semua anak buah dan Buapak bersetuju nama calon yang dikemukakan kepada Penghulu Luak, kerana perlantikan Lembaga diakui sah melalui persetujuan Penghulu Luak. Ada juga kemungkinan terdapat jalan buntu dalam memilih calin Lembaga. Jika hal ini berlaku maka perkara ini perlu dibawa kepada Penghulu Luak. Penghulu Luak juga berkuasa mencari calon dan menetapkan perlantikan calon selepas calon yang layak diterima. Perlantikan itu kemudian perlu diistiharkan kepada anak buah. Seperti juga istiadat pengistiharan Buapak, pengistiharan Lembaga juga dibuat dengan upacara penyembnahan. Tetapi acaranya lebih rumit daripada perlantikan Buapak. Jamuan dibuat untuk menjamu anak buah iaitu dengan menyembelih kambing untukm lauknya. Jamuan dibuat di kedua-dua tempat kediaman iaitu di telaga dan di balai.

Upacara penyembahan dimulakan dengan Dato’ Lembaga tanpa iaterinya pergi ke telaga. Di sana beliau berpakaian lengkap berbaju Melayu, berdestar atau bertanjak dan berkeris. Biasanya istiadat ini berjalan di waktu pagi hari bertolak dari rumah ibu atau Telaga. Di telaga Dato’ Lembaga duduk di tempat kebesarannya seperti juga Buapak. Upacara penyembahan dimulakan dengan Buapak berjabat salam, kemudian diikuti oleh anak buah. Melalui cara ini anak buah dapat mengenali Dato’ Lembaga mereka. Setelah segalanya selesai dan jamuan diadakan maka tamatlah acara di telaga itu.
Seterusnya acara di balai pula dimulakan iaitu biasanya di sebelah petang. Menurut adat anak buah dari suku isterinya jugapatut menyembah. Untuk itu di rumah isteri di adakan satu istiadat menyembah. Buapak dari suku isteri pergi menjemput Lembaga yang berada di Telaga dengan membawa tepak sirih. Tepak sirih itu pula dibungkus dengan tiga lapis kain dengan cara-cara tertentu. Hanya orang yang tua-tua sahaja yang boleh membuatnya. Sehingga di lapisan yang ketiga terbentuk kedudukan kepala atau pangkal dan ekornya atau hujung yang tidak ketara. Apabila menyorongkan tepak sirih itu, hendaklah didahulukan bahagian kepalanya. Ini adalah satu bentuk mempermuliakan Lembaga itu. Orang yang bertanggungjawab menyorongkan tepak sirih itu ialah Buapak dari suku isterio diiringi dengan kata-kata yang menyatakan mereka dating menjemput Lembaga itu pulang ke balai.

Kemudian tepak sirih itu disambut oleh Buapak dari suku Lembaga yang menanti akan jemputan itu, yang juga dengan kata-kata tertentu. Dengan cara ini mengambarkan bahawa perlantikan Lembaga itu direstui dan akan dimuliakan sesuai dengan kehendak adat. Jika Lembaga dijemput dalam satu istiadat maka alat kebesarannya dipasang dan kelengkapan lain sebagai sambutan terhadapnya harus dibuat menurut adat. Selesai menjemput Lembaga itu maka Lembaga dan Buapak bersama-sama bertolak dari balai. Di balai sambutan dan persediaan alat-alat kebesaran sama juga seperti yang diadakan di telaga. Di sini acara penyembahan dimulakan dengan didahului oleh isteri Lembaga itu dan diikuti oleh adik beradik isteri atau seluruh keluarga. Buapak yang menjemput tadi tidak perlu lagi menyembah, kecuali jika ada Buapak yang belum menyembah. Acara menyembah diakhiri dengan bacaan doa selamat dan jamuan makan. Buapak atau Lembaga dari suku lain tiadak dimestikan hadir.

Ada satu peringkat lagi istiadat perlantikan ini yang mesti dijalankan iaitu pengesahan oleh Penghulu Luak pula. Walau bagaimanapun perlantikan Lembaga itu telah diterima oleh anaqk buah dari kedua-dua pihak. Selepas selama 40 hari dari tarikh perlantikan Lembaga itu, maka pada hari yang ditentukan, Buapak dan anak buah dari dua belah pihak mengiringi Lembaga dan isteri ke rumah Penghulu Luak. Mereka pergi dengan membawa buah tangan iaitu tepak sirih, pulut kuning, bunga telur, penganan, dan wajik yang di letakkan dalam boko serta wang sebahara. Barang-barang ini akan disembahkan oleh Dato’ Lembaga kepada Penghulu Luak dengan mendahulukan tepak sirih dan kemudian baharu barang-barang lain.

Setelah Dato’ Undang menerima barang persembahan itu, lembaga dan isterinya melangkah ke hadapan Undang dan mengangkat sembah seperti menyembah raja. Setelah selesai upacara penyembahan, jamuan diedarkan kepada hadirin. Sebagai kesimpulan dari perlantikan Lembaga, istiadat dan peraturan agak rumit dari perlantikan Buapak. Namun begitu segalanya mesti dilakukan kerana sudah menjadi adat yang teradat.

Peranan dan Fungsi Dato’ Lembaga dan Perlantikan Jawatan Adat

Sebagai pemerintah suku, tanggungjawab seorang Lembaga adalah seperti berikut:
a. Bertanggungjawab terhadap kebajikan ahli-ahli suku, dalam menjalankan tugas ini beliau dibantu oleh Buapak.
b. Menerima laporan Buapak tentang segala yang berlaku dalam perut masing-masing dan bertindak sewajarnya.
c. Mengawas penggunaan dan kemajuan tanah di kanlangan anggota suku.
d. Bertanggungjawab melaporkan perkara yang timbul dalam suku kepada Undang atau Penghulu sekiranya beliau tidak dapat sesuatu perkara yang di luar bidang kuasanya. Kuasa lembaga tersekat sebagimana perbilangan:

Pusaka Lembaga bersekat
Lembaga berlingkungan
Tali pengikat pada Lembaga
Kata pemutus pada Lembaga
Sah batal pada Lembaga

e. Perkara-perkara yang boleh diputuskan oleh Lembaga ialah:

i. Perkara-perkara seperti membutakan mata, mematahkan tulang dan memutuskan urat dan luka yang di luar bidang kuasa Buapak
ii. Dalam aspek menghukum, Lembaga hanya boleh menghukum setakat RM2.70 sahaja.
iii. Berkuasa mengukur tanah, memancang sempadan dan melihat tanah berpindah tangan serta mendapat bahagian yang dinamakan Adat Tukul Lantak
iv. Berkuasa mengompokkan atau memberi tanah yang terbiar kepada anggota rumpun lain dalam suku yang sama. Ini hanya boleh dilakukan setelah Buapak gagal menasihati anak buah berkenaan mengusahakan tanahnya. Hak ioni adalah lanjutan daripada tugas Lembaga sebagai pengawas [penggunaan tanah suku. Perpindahan ini hanya boleh dilakukan selepas diadakan istiadat berkampung dengan dipengerusikan oleh Lembaga dan dihadiri oleh kesemua ahli perut dan suku.

f. Lembaga harus hadir di Balai Undang atau Penghulu apabila dipanggil untuk membincangkan masalah luak.
g. Lembaga terlibat dalam upacara adat di Balai Undang dan Penghulu.
h. Lembaga harus hadir dalam majlis anggota suku apabila ahli berkenaan menyembelih kerbau ayau lembu.
i. Hakim dang pengantara yang berkaitan dengan hal-hal peribadi, kekerabatan dan masalah setempat yang melibatkan suku-sukunya.
j. Lembaga juga menjadi simbol kekuatan aturan adat iaitu adat nan sebenar adat, adat yang teradat, adat nan diadatkan dan adat istiadat dan sistem hak milik tanah pusaka suku yang menjadi tunjang kepada aturan adat.
k. Tonggak penyokong dan penjaga keberkesanan, kemajuan dan kesinambungan Adat Perpatih.
l. Memainkan perana penting dalam memastikan anak buahnya tidak berpecah belah terutama kerana perebutan tanak pusaka.

Tugas dan Speksifikasi Kerja dan Kuasa Dato’ Lembaga

Menyentuh tentang kedudukan Lembaga, Lembaga mendapat kedudukan istimewa dalam Adat Perpatih. Seseorang Lembaga itu tiadak ada peranannya dan tidak boleh terlibat dalam urusan suku isterinya. Dalam kehidupan harian Lembaga bebas dari cukai tanah seluas dua sentengah ekar sepanjang hayatnya. Lembaga juga menerima elaun sebanyak RM20 sebulan dan kadang-kadang lebih dari itu mengikut kawasan. Misalnya di Rembau jumlahnya berlainan dengan yang terdapat di Kuala Pilah dan sebagainya. Jika anak buah menjemput Lembaga dalam sesuatu kenduri, segala alat kebesarannya mesti disediakan. Jika anak buah ingin bertemu Lembaga pula, ia mestilah dating ke rumah Lembaga dengan membawa buah tangan seperti wajik, penganan atau biskut. Sebenarnya barang-barang ini bukan Lembaga tidak mampu mengadakan, tetapi ini adalah satu tanda penghormatan anak buah kepada Lembaga itu, dan hal ini sebenarnya sudah menjadi adat dalam masyarakat Perpatih. Isteri Lembaga tidak boleh bekerja semasa jemputan kenduri, walaqupun rumah jirannya tetapi dalam suku yang sama.

Dari apa yang telah diterangkan, jelas perana Buapak asgak ketara dalam perlantikan Lembaga ini. Sementara peranan Penghulu Luak dalam hal ini adalah sebagai pengesah kepada perlantikan itu.

BUAPAK

Pengertian Buapak

Buapak merupakan ketua kelompok kekeluargaan perut. Buapak seumpama sepohon berangan yang tumbuh di lepan. Kuasa Buapak adalah ke atas segala kesalahan yang merosakkan kedamaian perutnya, termasuklah pergaduhan yang dikatakan sebagai luka, cungit, pecah berdarah. Buapak hanya berkuasa ke atas luka-luka yang terkena pada bahagian badan yang tertutup oleh pakaian. Kejadian yang melibatkan patah dan cacat anggota adalah di luar bidang kuasa Buapak untuk menyelesaikannya.

Tatacara Pemilihan Buapak

Sesuai dengan peringkat kekuasaannya iaitu di kalangan anggota perutnya atau segolongan kecil sahaja, maka perlantikan Buapak tidaklah mempunyai cara dan adat istiadat yang rumit. Pemilihan seoranmg Buapak adalah atas permuafakatan dan persetujuan ahli waris dari perut atau anggota sesuatu perut itu dan juga waris sekedim. Setelah ada persetujuan dari golongan yang disebutkan itu maka peranan Lembaga ialah mengesahkan calon yang dikemukakan itu. Calon yang dipilih biasanya adalah dari anggota perut yang berhak dan tertumpu pada calon yang layak sahaja iaitu setelah dikaji dari segi latar belakang keturunannya dan ia juga mestilah seorang yang tahu tentang selok belok adat.

Sebelum pengesahan daripada Lembaga dilakukan, pengistiharan kepada anak buah perlu dibuat iaitu dengan istiadat penyembahan. Istiadat ini dilakukan di rumah isteri atau dipanggil juga balai bagi masyarakat di sini. Barang-barang persembahan adat yang perlu disediakan ialah sirih, nasi kunyit, penganan dan wajik yang diletakkan dalam boko. Barang-barang ini dipersembahkan di hadapan Buapak. Pada hari ini Buapak duduk di hujung serambi rumah dengan segala alat kebesaran terpasang seperti tilam tersusun dan tepak sirih. Buapak juga berpakaian lengkap berbaju Melayu, bertanjak dan memakai keris. Buapak dari suku lain juga turut hadir. Kemudian seorang demi seorang anak buah menyembah kepada Buapak dengan bersalam.
Upacara penyembahan ini sangat penting sebagai tanda pengistiharan kepada anak buah. Tetapi harus dinyatakan bahawa tidak ada paksaan ke atas anak buah untuk menyembah atau menyampaikan taat setia mereka. Setelah istiadat penyembahan itu selesai maka baharulah Lembaga mengesahkan perlantikan itu. Istiadat ini diakhiri dengan jamuan. Jamuan yang diadakan tiadak besar-besaran, memadai untuk anggota perutnya sahaja.

Peranan dan fungsi Buapak dalam Perlantikan Jawatan Adat

a. Menjaga kepentingan, keharmonian dan pembangunan anak-anak buah dalam perutnya.
b. Menerima laporan daripada Besar tentang anak buah masing-masing dan bertindak sejajar dengan kehendak dan keperluan.
c. Membantu Lembaga mentadbirkan anak buah dalamlingkungannya.
d. Melaporkan kepada Lembaga segala apa yang berlaku dalam perutnya.
e. Menjalankan adat istiadat berkaitan dengan pertunangan, perkahwinn, bercukur, berkhatan, bertindik dan juga segala upacara lain yang melibatkan penyembelihan kambing. Bak kata perbilangan:

Aturan Buapak dalam anak buahnya
Seekor kambing adatnya
Tilam bujur, bantal tersusun
Tabir terpasang
Langit-langit terbentang
Rebana dipukul, inai ditarikan
Buapak seadat dengan besar

f. Wakil kelompok perut dalam segala perkara yang berkaitan dengan hal ehwal anak buahnya
g. Mewakili apabila diberi mandat oleh ahli perutnya untuk memilih dan melantik Lembaga.
h. Menjadi orang tengah dalam sebarang konflik di kalangan anggota perutnya atau antara anak buahnya dengan orang luar.
i. Pelaksana keseluruhan Adat Perpatih
j. Memastikan setiap elemen dan komponen adat berjalan dengan lancar
k. Memastikan setiap aktiviti di kalangan anak buah memberi faedah, kebaikan dan kemajuan serta keharmonian kepada kelompok-kelompok rumpun, ruang, perut dan seterusnya suku.

BESAR WARIS

Besar waris dipilih oleh anak buah dan ahli-ahli rumpun dan ruang untuk mewakili kepentingan kelompok kekeluargaannya. Orang yang dilantik tidak semestiya lelaki yang tertua dalam ruang. Dia dilantik melalui giliran antara rumpun dan dipilih sebulat suara oleh ahli ruang. Besar Waris mempunyai kuasa yang terbatas dan hanya boleh menyelesaikan pergaduhan kecil di kalangan anggota ruang. Pergaduhan yang lebih serius diserahkan kepada Buapak atau Lembaga dan bergantung pada darjah kesalahan itu mengikut hukum adat. Besar Waris juga bertindak sebagai perantara antara anggota ruang dengan Buapak. Besar Waris boleh mewakili Buapak dalam upacara yang kurang penting dalam perut dan suku Norhalim Ibrahim, 1993:113).
Di Balai Lembaga, Besar Waris menjadi pegawai lembaga. Besar Waris menyelaras bagi pihak dalam lembaga upacara adat dan pembayaran denda semasa menyelesaikan semua jenis perkahwinan tidak lazim melainkan berbentuk menyerah. Dalam menjalankan tugas pentadbiran, Besar Waris boleh mengenakan denda yang tidak melebihi RM1.80. sebaliknya jika lahir anak luar nikah di kalangan anggota ruang,
Besar Waris akan dikenakan denda. Jika Besar Waris melakukan kesalahan tertentu, dia boleh dipecat oleh anak buahnya.
Perbezaan besar bagi kedua-duanya ialah Buapak boleh dipecat oleh Lembaga kerana kesalahan yang dikatakan oleh adat dia besar tidak tahukan besar dirinya, iaitu tidak tahu menjalankan tugas-tugasnya.

KADIM

Kadim atau Tua Waris atau Tua Rumpun ialah ketua bagi kelompok kekeluargaan rumpum. Selalunya, beliau ini ialah lelaki tertua dalam sesuatu rumpum. Fungsi Kadim ialah memimpin dan mengatur upacara dalam kelompoknya, bertindak sebagai orang tengah menyelesaikan sebarang konflik di kalangan ahli rumpunnya, memastikan ahli-ahli rumpunnya hidup dalam keadaan harmoni, aman dan damai dan mewakili kelompoknya menghadiri aktiviti luar rumpunnya, termasuk dalam proses pemilihan ketua-ketua adat lain dalam kelompok kekeluargaannya yang lebih besar.
Tegasnya, Kadim bertanggungjawab bersama-sama dengan anak buahnya menjaga segala urusan yang berkaitan dengan rumpunnya. Tetapi dari segi politiknya, Kadim tidaklah sepenting ketua adat yang lain tetapi peranannya tetap penting. Kadim yang kreatif akan dapat menjadikan dirinya penting walau dalam apa keadaan sekalipun.(40)

PENGHULU

Penghulu ialah jawatan di dalam Luak Tanah Mengandung iaitu Luak Gunung Pasir, Ulu Muar, Terachi, Jempol dan Inas. Kedudukan Penghulu sama sepeti Undang iaitu bersalasilah tetapi beliau tidak berkhalifah, berkeadilan dan kuasanya lebih rendah daripada Undang. Penghulu bertanggungjawab terus kepada Yang di-Pertuan Besar.41 Berdasarkan sejarah, sebelum ini daerah-daerah (luak) Negeri Sembilan yang lama seperti Kelang, Naning, Rembau, Sungai Ujong, Jelebu, dan Johol dipimpin oleh seorang ketua bergelar Penghulu. Mesyuarat di antara Penghulu dan Dato’ Lembaga Luak Tanah Mengandung akan diadakan bagi membincangkan sebarang perubahan adat. Keputusan yang diputuskan oleh mereka akan dibawa kepada Yang di-Pertuan Besar untuk diperkenankan.42 Dari aspek perlantikan penghulu di luak-luak ini adalah berbeza sedikit. Penghulu Luak Ulu Muar, Jempol dan Inas akan dipilih oleh suku Biduanda. Penghulu Luak Gunung Pasir akan dipilih daripada suku Tanah Datar dan Penghulu Terachi pula dipilih oleh suku Seri Lemak Pahang. Dato’ Penghulu berkuasa untuk melantik Dato’ Lembaga dan sebelum itu adalah tugas lembaga delapan adalah untuk mencari ‘mata benih’, selepas buapak bersepakat menerima calon yang tersenarai. Senarai calon tersebut akan disampaikan kepada lembaga yang empat. Calon-calon akan ditapis melalui satu mesyuarat khas. Seterusnya keputusan diserahkan kepada Dato’ Penghulu Luak dan di tangannya kata pemutus.

____________________________________________________________________________
40 Ibid., hlm. 98.
41 Mohd. Rosli Saluddin, 2004. Pentadbiran dan Adat Istiadat Pelantikan Dalam Adat Perpatih. Kepimpinan Adat Melayu Serumpun. Institut Seni Malaysia Melaka, hlm. 95.
42 Nordin Selat, 1976. hlm. 172.


IBU SOKO

Ibu soko merujuk kepada wanita atau perempuan yang berilmu dan berpengalaman tentang peradaban dan kehidupan yang boleh dijadikan rujukan dan juga panduan. Manakala Soko bermaksud pusaka yang diamalkan dan yang digunakan dalam kehidupan sepanjang masa.

Ciri-Ciri Ibu Soko:

a. Benar dalam kehidupannya yang bersifat benar yang begitu juga dalam perbuatannya.
b. Jujur iaitu bersifat jujur dan dapat dipercayai zahir dan batin dan jangan berlaku seperti kata-kata adat di bawah ini iaitu:
c. Bersifat cerdik perlu pada ibu soko dan seseorang ibu soko itu mestilah mempunyai sifat yang cerdik, tahu dan pandai. Bijak berbicara kerana dia akan mendidik anak dalam rumahtangga dan sukunya.
d. Pewaris pada tanah pusaka yang merupakan kelangsungan adat.
e. Ibu soko wajib ambil tahu sedara lelaki dan juga perempuan dan bantu mereka yang dalam kesusahan.

Tatacara Pemilihan Ibu Soko

Ibu soko dipilih berdasarkan ilmu, pengalaman, pengetahuan dan kepakarannya dalam bidang adat, ekonomi, social dan juga adat. Mereka yang dilantik paling ramai adalah tiga orang dalam sesuatu suku dan ia juga diibaratkan sebagai perpuastakaan bergerak. Perlantikannya mestilah dapat persetujuan semuan anak buah. Kok bulat boleh digolekkan dank ok pipih boleh dilayangkan. Perlantikanya perlu dimaklumkan kepada Buapak dan juga Lembaga.

Peranan dan fungsi Ibu Soko

a. Ibu Soko menjalankan fungsinya dalam segala hal Adat Perpatih. Contohnya dalam adat perkahwinan pengesahan Ibu Soko adalah penting. Buapak dan Ibu Soko akan sering memerlukan dalam adat perkahwinan tersebut.
b. Perlantikan Buapak dan Lembaga Ibu Soko juga sangat penting sebagai tanda asal keturunan calon tersebut dan Ibu Soko sahaja jugalah yang layak mengesahkannya.
c. Ibu Soko ada hak dalam kerapatan adat dan terlibat sama sekali dalam majlis perbincangan secara langsung dan adalah tidak benar jika ia duduk di sebelah dalam rumah sahaja.
d. Melaksanakan ketentuan agama dan adat kerana merekalah contoh terbaik dalam keluarga.
e. Bertanggungjawab meneruskan jurai keturunan kelompok kekeluargaannya.
f. Bertanggungjawab memastikan keturunanya menjadi ahli masyarakat yang berguna dan bersikap madani.
g. Memelihara harta pusaka
h. Bertanggungjawab sebagai penguasa tanah dan rumah pesaka

Pakaian dan Alat Kebesaran Ibu Soko

Ibu soko berpakaian baju kurung, tengkuluk di kepala dan sampingnya dari kain batik dan jika di Jelebu kain batik itu perlu di gulung di paras atas dada. Ini melambangkan ketinggian dan dan keilmuan Ibu Soko itu sendiri.

Tugas dan Bidang Kuasa Ibu Soko

Mengawal dan memastikan Adat Perpatih berjalan dalam landasan yang betul dan lancer tanpa berlaku apa-apa penyelewengan. Ia juga adalah pengimbang kepada Buapak, Lembaga, Undang dan juga Raja.

Persamaan dan perbandingan dengan luak lain

Selain dari istilah Ibu Soko dan di luak lain ada yang menamakan Ibu Waris atau Waris pesaka. Di Inas dinamakan Bentara Betina. Namun fungsi Ibu Soko telah mula kabur selepas Tanah Melayu dikuasai oleh penjajah luar.

Pengamalan Adat-adat di Negeri Sembilan – Satu Tinjauan Ringkas

Kedatangan orang Minangkabau ke Negeri Sembilan telah membawa bersama amalan dan kebudayaan nenek moyang mereka iaitu Adat Perpatih. Amalan dan adat baharu ini sangat berbeza dengan amalan penduduk asal Negeri Sembilan yang terdiri daripada orang Melayu Asli atau Proto Melayu. Sebelum kedatangan orang Minangkabau, luak-luak di Negeri Sembilan diketuai oleh Penghulu-penghulu daripada orang Asli seperti Batin Bercanggai Besi, Batin Sibu Jaya, To’ Jenang Jelondong dan lain-lain. Adalah jelas bahawa gelaran ‘Batin’ dan ‘Jenang’ hanya digunakan oleh masyarakat Orang Asli. Pertembungan adat orang Minangkabau dan orang Asli telah menlahirkan sebuah tamadun yang lebih kepada tatacara dan aturan hidup Minangkabau hingga melenyapkan sama sekali budaya dan sistem penduduk asal Negeri Sembilan.43 Impak utama dari kedatangan orang Minangkabau dari Sumatera ke Negeri Sembilan sejak ratusan tahun dahulu adalah terbentuknya satu masyarakat beradat Perpatih di kalangan suku Biduanda dan orang Minangkabau. Dalam aspek sistem dan perlaksanaannya, amalan Adat Perpatih di Negeri Sembilan mempunyai perbezaan dengan Adat Perpatih yang diamalkan oleh orang Minangkabau, Sumatera. Perbezaan tersebut ialah dari aspek jumlah suku yang terdapat di Negeri Sembilan dan di Minangkabau Sumatera. Negeri Sembilan mempunyai 12 suku iaitu suku Biduanda, Tanah Datar, Batu Hampar, Seri Lemak

Minangkabau, Seri Lemak Pahang, Paya Kumbuh, Tiga Batu, Tiga Nenek, Mungkal, Batu Belang, Seri Semelenggang dan Anak Aceh. Di Minangkabau Sumatera hanya terdapat 4 suku sahaja. Kebanyakan suku yang terdapat di Negeri Sembilan diambil dari nama kampung atau tempat asal ketua-ketua kumpulan orang Minangkabau yang berhirah ke negeri ini. Terdapat juga nama suku yang berlainan dan mungkin merupakan pecahan daripada suku yang dua belas.

__________________________________________________________________________
43 Abdu Samad Idris, 1987.Takhta Negeri Sembilan. Kuala Lumpur: Utusan Princorp Sdn. Bhd., hlm. 1.


Pengertian Adat

Adat bermaksud sesuatu peraturan yang sudah diamalkan secara turun-temurun sejak dahulu kala di dalam sesuatu masyarakat sehingga ia menjadi hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. Dalam masyarakat Melayu Nusantara khususnya di Semenanjung Tanah Melayu, adat diwarisi secara turun-temurun hingga menjadi ikutan sehingga sekarang. Adat yang menjadi ikutan dan amalan tersebut didirikan menjadi peraturan atau lebih jelas sebagai satu undang-undang. Sebelum kedatangan Islam di Tanah Melayu, undang-undang ini dibahagi kepada dua iaitu undang-undang bertulis dan undang-undang tidak bertulis.

Dalam masyarakat Melayu terpecah kepada dua undang-undang tidak bertulis iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Kedua-dua adat ini dipercayai berasal dari Sumatera Utara yang dibawa oleh dua orang adik-beradik iaitu Datuk Ketamanggungan dan Datuk Perpatih Nan Sebatang. Adat Perpatih dipercayai terlebih dahulu wujud di Minangkabau sebelum kedatangan agama Islam. Adat khusus membicarakan tentang peraturan-peraturan hidup di dunia, manakala Islam membawa soal ketuhanan dan akhirat. Adat menerima Islam dan tidak menentangnya. Sekiranya berlaku pertentangan, ia akan hanya membawa kerosakan.

Adat ke Hukum mati Hukum
Hukum ke Adat mati Adat

Adat dipakai, Syarak dituruti
Syarak mengata, Adat memakai

Adat bersendi Hukum
Hukum bersendi Kitabullah
Kuat Adat tak gaduh Hukum
Kuat Hukum tak gaduh Adat
Ibu Hukum, muafakat
Ibu Adat, muafakat.

Masyarakat Melayu di Nusantara sinonim dengan adat dan budaya yang menjadi identiti serta jati diri yang terkenal di seluruh dunia. Perlembagaan Malaysia menerusi Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia mentakrifkan bahawa, Orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu…

‘Adat’ pada asalnya ‘adat atau ‘adah’ ialah perkataan Arab yang bererti amalan yang lazim.44 Dalam pengertian yang lebih lanjut, adat ialah institusi di mana undang-undang dan kebiasaan mengatur social, politik dan corak perlembagaan bagi kerajaan hari ini. Undang-undang itu adalah melahirkan pepatah-pepatah yang sangat lama dan bernilai.45

Adat Perpatih adalah berasal dari masyarakat Melayu Minangkabau di Sumatera dan adat yang diamalkan di Minangkabau agak berbeza dengan adat Perpatih di Semenanjung Tanah Melayu. Di Malaysia, Adat Perpatih hanya digunakan di Negeri Sembilan, Naning dan Kampung Lukut, Kota Tinggi sahaja. Adat Perpatih mengamalkan konsep matrilineal. R.J. Wilkinson menghuraikan mengenai adat ini,

Asal-usul suku dikira melalui nasab perempuan seseorang lelaki adalah anggota kepada suku ibunya sehinggalah lelaki tersebut berkahwin, maka ia diterima pula sebagai suku isterinya. Tanah pusaka diwarisi oleh kaum perempuan sahaja kerana mereka dianggap tidak dapat mengembara, apabila berkahwin suami mereka menetap bersamanya. Amalan eksogami adalah digalakkan. Perkara-perkara tersebut merupakan satu perlembagaan bagi sesebuah ‘keluarga’.46

Adat Perpatih menekankan bahawa harta pusaka milik nenek moyang boleh diturunkan dan menjadi kepunyaan suku sebagai kepunyaan bersama bukan kepunyaan individu. E.N. Taylor mengariskan prinsip ini seperti berikut:
(a) Semua harta yang diberi hak kepada suku tidaklah diberikan kuasa kepada individu;
(b) Harta yang diperolehi secara warisan akan menjadi pusaka;
(c) Semua harta pusaka adalah diberi kuasa kepada anggota keluarga perempuan dalam suku;
(d) Semua harta pusaka mestilah diberi hak mewarisi kepada keluarga yang menjadi tulang belakang.47

__________________________________________________________________________
44 Othman Ishak, (1979). Hubungan Antara Undang-Undang Islam Dengan Undang-Undang Adat. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm. 73. Lihat juga G.H. Bonsquet, article ‘adat, op.cit, hlm. 170; M.M. Wajib, Abd al-Haqq dan G. Kadir, op.cit, hlm. 994.
45 Haji Mohd. Din Ali, 1963. Malay Customary Law/Family, dalam Intisari Malaysia Sosiologi Research Institute, Singapura, Jilid II, No. 4, hlm. 34.
46 Wilkinson, R.J., 1908. Law Part 1, An Introductory Sketch, Papers on Malay Subjects, Kuala Lumpur, hlm. 10.
47 Taylor, E.N., 1919/30. The Customary Law of Rembau, JRASMB, Vol. VIII, Singapura, hlm. 9.


Sistem Nilai Dalam Adat Perpatih
1. Nilai Adat Itu Sendiri
2. Nilai Budi
3. Nilai Kaum Perempuan
4. Nilai Individu
5. Nilai Hidup Bermasyarakat
6. Nilai Ekonomi
7. Nilai Kepimpinan
8. Nilai Pertentangan Adat dan Agama

Nilai Adat Itu Sendiri
Adat merupakan satu peraturan hidup di dunia, “Hidup dikandung Adat; Mati dikandung tanah”. Tujuan adat ialah untuk kebaikan

“Adat menimbulkan yang baik”
“Adat sentosa di dalam negeri”

Adat tidak bersifat beku, sentiasa mengaku dan menerima perubahan.

“sekali air bah, sekali tepian berubah”

Bagaimanapun, fleksibliti ini tertakluk kepada adat kerana Adat perpatih terbahagi kepada dua:

1. Bersifat tidak fundamental, yang tidak asasi dan tidak penting
2. Bersifat fundamental, yang asasi dan penting

Peraturan adat yang bersifat tidak fundamental ialah yang boleh menerima dan berubah seperti upacara nikah kahwin, kerja-kerja harian menggunakan peralatan, sikap (membenarkan anak perempuan bekerja). Peraturan begini boleh diubah dan boleh dikekalkan kerana tidak memberi kesan kepada Adat Perpatih.

Usang-usang diperbaharui
Lapuk-lapuk dikajangi

Yang elok dipakai
Yang buruk dibuang

Kalau singkat minta disambung
Kalau panjang minta dikerat
Kalau koyak minta ditampal

Peraturan adat yang fundamental adalah tidak boleh diubah.

Tak lekang dek panas
Tak lapuk dek hujan

Antaranya seperti sistem hidup bersuku, matrilineal, dan sistem tanah adat pusaka.

Nilai Budi

Budi merupakan nilai sentral dalam Adat Perpatih. Budi boleh disumbangkan melalui pemberian material, tenaga, pekerti mulia, dan bahasa.

Harimau mati meninggalkan belang
Manusia mati meninggalkan nama

Pengertian di antara hubungan sesame manusia, yang satu menabur budi, yang satu terhutang budi. Saling membalas kebaikan.

Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati

Hancur badan dikandung tanah
Budi baik dikenang jua

Sejamban seperulangan
Seperigi sepermandian.

Nilai Kaum Perempuan

Adat Perpatih menggariskan bahawa kaum perempuan disebut sebagai “bonda kandung” iaitu ibu yang melahirkan anggota-anggota masyarakat atau “waris pusaka”. Yang mengembangkan zuriat (mengandung) ialah kaum perempuan yang menentukan kualiti generasi akan datang. Baik buruknya anak bergantung kepada ibu:

Kalau kurik induknya
Rintik anaknya

Kalau keruh air di hulu
Sampai ke muara keruhnya

Maka dengan itu, Adat Perpatih mengutamakan kaum perempuan dan mereka harus mempunyai jaminan hidup supaya tidak porak peranda dan dapat mendidik anak dengan sempurna. Jaminan hidup dalam Adat Perpatih ialah tanah pusaka yang merupakan sumber ekonomi dan bebas hidup tanpa bantuan kaum lelaki. Tanah pusakalah tempat tinggal mereka.

Apabila berkahwin, suami akan berpindah ke rumah isterinya di tanah pusaka. Perempuan tetap tinggal di rumah bersama anak-anaknya. Adat Perpatih menjamin kaum perempuan sekiranya berlaku penceraian; dapat tempat berteduh dan sumber pendapatan (ekonomi). Anak-anak juga mempunyai tempat perlindungan. Kaum perempuan diberi keutamaan kerana dianggap lemah dan perlu pertolongan (dalam aspek harta dan sumber ekonomi dari keluarga sendiri).

Kaum lelaki diibaratkan;

“pipit jantan tidak bersarang”

Adat menganggap kaum lelaki boleh keluar (merantau) mencari rezeki dan sumber ekonomi. Kaum lelaki dikatakan mempunyai kudrat tenaga dan mampu berdikari berbanding kaum perempuan. Kaum lelaki dikatakan boleh tinggal dan tidur di mana-mana tetapi tidak bagi kaum perempuan kerana melibatkan maruah, jati diri dan bimbang keselamatannya terancam.

Adat Perpatih menganggap kaum perempuan sebagai “kunci maruah” bagi seluruh sukunya. Demi menjaga maruah, kaum perempuan diberi kedudukan ekonomi yang teguh. Kaum perempuan dan lelaki sesama suku mempunyai peraturan dana dab yang sopan lagi keras. Kaum perempuan dianggap suci dan indah serta sebagai sumber kasih sayang, sumber kekuatan rumahtangga dan keselamatan dunia akhirat.

Dalam agama Islam juga menegaskan bahawa;

“isteri adalah benteng suami daripada godaan syaitan”.

Nilai Individu

Dalam masyarakat Adat Perpatih, individu dan masyarakat tidak dapat dipisahkan. Individu-individu akan mewujudkan masyarakat. Dalam Adat, individu digalakkan mempunyai sifat-sifat terpuji:
-Menjaga nama dan maruah
-Berani kerana benar
-Menentang dengan berperaturan
-Bersifat Ideal “Tungku Tiga Sejerangan” (beragama, berada dan berilmu pengetahuan)
-Kepakaran
-Sabar
-Bertanggungjawab

Nilai Hidup Bermasyarakat

Adat Perpatih mengutamakan muafakat di kalangan individu dan masyarakat. Muafakat membawa pengertian dan tujuan seperti berikut:
-Timbang rasa
-Tolong menolong
-Persefahaman
-Bahagi membahagi
-Kesatuan
-Sama rata
-Bertatatertib
-Kepatuhan
-Setia
-Hormat menghormati
-Kejujuran

Nilai Ekonomi

Dalam aspek ekonomi, Adat Perpatih sangat mementingkannya kerana menurut adat, ekonomi yang kuat membawa ketenangan fikiran dan jiwa. Adat menganggap sekiranya berlaku kemiskinan akan menyebabkan kekacauan hingga menjadikan manusia saling bermusuhan, bergaduh, berperang dan saling membunuh.

Adat Perpatih tertegak dan kuat dengan berasaskan tanah yang dimiliki bersama dan didiami bersama oleh sesuatu masyarakat adat. Tanah pusaka, rumah dan sawah ladang dijaga bagi mengelakkan berlakunya pengurangan atau penyusutan ekonomi. Adat menyarankan agar harta perlu ditambah.

Kaum lelaki digalakkan keluar merantau untuk mencari rezeki, wang dan kekayaan. Ini kerana ekonomi di kampung agak terhad. Apabila mereka berjaya di perantauan, mereka akan menghantar wang kepada waris di kampung untuk membeli rumah, tanah dan harta. Adakalanya mereka keluar bertahun-tahun lamanya tetapi akhirnya mereka kembali menetap di kampung halaman sendiri. Pemergian anak-anak lelaki muda bukan sahaja untuk mencari rezeki tetapi membawa sekali pengalaman apabila kembali ke kampung. Pengalaman mereka di perantauan khususnya negeri-negeri yang maju dan kaya dapat menjadi buah fikiran kepada kampung mereka yang mungkin masih belum mendapat kemudahan setaraf dengan di negeri orang.

Karatau madang di hulu
Berbunga berbuah belum
Merantau bujang dahulu
Di kampung berguna belum.

Dek tajam buah fikiran
Dek meniru meneladan
Pengalaman hidup yang ditanggung
Menjadi contoh pada yang ada
Alam terkembang menjadi guru.

Nilai Kepimpinan

Dalam Adat Perpatih, setiap susun lapis masyarakatnya mempunyai pemimpin antaranya Yang di-Pertuan Besar, Undang, Lembaga, Buapak, dan Ibu Soko. Bagaimanapun, majoriti jawatan tersebut dipegang oleh kaum lelaki dan hanya satu sahaja disandang oleh kaum perempuan iaitu Ibu Soko. Ini kerana menurut adat, kaum lelaki ialah “pagar” bagi masyarakatnya.
Konsep Pemimpin
Kepimpinan dalam Adat Perpatih berlandaskan dua konsep:
-Muafakat
-Budi

Syarat-syarat Menjadi Pemimpin
1. Calon lelaki
2. Berhak dari segi keturunan
3. Beragama Islam
4. Baligh
5. Keturunan yang baik
6. Dipersetujui oleh anak buah

Sifat-Sifat Pemimpin
1. Mempunyai kedudukan ekonomi yang baik.
2. Badan yang sihat.
3. Watak yang baik.
4. Berakal.
Ciri-Ciri Lain
1. Pemurah
2. Benar
3. Amanah
4. Tabligh
5. Akal

Pantang Larang Pemimpin
1. Tidak boleh lekas marah
2. Tidak boleh menghentam tanah (suara keras dan gerak-geri kasar)
3. Tidak boleh menyinsing lengan baju
4. Tidak boleh berlari-lari anak
5. Tidak boleh memanjat tanpa tangga
6. Tidak boleh menjunjung sesuatu di atas kepala
7. Tidak boleh mengangkat barang dengan mengandar
8. Tidak boleh berbual-bual di bawah anjung atau sermabi rumah

Nilai Pertentangan Adat dan Agama
Di Alam Minangkabau, Adat Perpatih terlebih dahulu diamalkan dari agama Islam. Adat pada asasnya membicarakan berkaitan peraturan-peraturan hidup di dunia. Agama Islam membawa soal Tuhan dan akhirat. Adat menerima Islam, tidak menentangnya. Pertentangan akan hanya membawa kerosakan.

Adat ke Hukum mati Hukum
Hukum ke Adat mati Adat

Kemasukan agama Islam di dalam alam Melayu menyebabkan adat Melayu terus dimantapkan dan adat Melayu tidak bercanggah dengan Islam, seperti yang tergambar di dalam perbilangan adat;

Adat bersendikan hukum,
Hukum bersendikan syarak,
Syarak bersendikan kitabullah.

Elemen adat yang bercanggah dengan hukum Islam diketepikan, sebaliknya hukum agama diterima pakai.48

Sejak kedatangan Islam, telah berlaku pertembungan hokum dan kebudayaan antara system adat perpatih dan agama Islam. Sebahagian besar persoalan daripada pertembungan itu telah lama diselesaikan dan menjadi prinsip kehidupan umat Melayu sebagai penganut agama Islam. Pada sejarahnya, kedua-dua adat perpatih dan adat temenggung itu mempunyai asal-usul atau legenda yang sama yakni daripada keturunan kerajaan di Tanah Minangkabau. Maka pertembungan dengan Islam membawa penyebatian dan penyesuaian yang sama pada asas dan prinsipnya. Hanya yang membezakannya ialah pengekalan prinsip kemasyarakatan secara nasab ibu bagi adat perpatih dan secara dwisisi bagi adat temenggung. Sekali gus juga prinsip nasab bapa yang terdapat dalam sistem masyarakat Melayu dalam proses pertembungan itu. Prinsip penyebatian ini terkenal sebagai “adat bersendi syarak, syarak bersendi kitab Allah”.49

_____________________________________________________________________________
48 Zainal Abidin Borhan, 2004. Adat Melayu dalam Warisan Peradaban Dunia. Kepimpinan Adat Melayu Serumpun. Institut Seni Malaysia Melaka Hlm. 7.
49 Zainal Kling, 2004. Adat Bersendi Syarak, Syarak Bersendi Kitabullah-Ajaran Tamadun Melayu. Kepimpinan Adat Melayu Serumpun. Institut Seni Malaysia Melaka, hlm. 20-21.


Hukum Harta Pusaka Dalam Adat Perpatih

Adat Perpatih mempunyai 4 jenis harta:
1. Harta Pusaka
2. Harta Pembawa
3. Harta Dapatan
4. Harta Carian

Harta Pusaka

Harta ini adalah hak perempuan atau dipanggil “waris pusaka”. Tanpa harta pusaka seseorang perempuan itu dianggap “anak dagang”. Pada dasarnya harta pusaka ialah harta kepunyaan sesuatu suku atau perut yang diwarisi secara turun temurun kepada keturunan perempuan. Perempuan yang mewarisi harta ini hanya mempunyai hak pakai. Dia boleh memindahkan hak pakai ini kepada orang lain tetapi tidak boleh menukar nama. Kuasa hak pakai dalam Adat Perpatih dikenali sebagai “genggam nan beruntuk” yang bermaksud diuntukkan (diberikan) kepada pemegang tertentu. Kaedah mewarisi harta pusaka diperturunkan daripa seorang ibu kepada anak-anak perempuannya. Jika tiada anak perempuan, keluarga perempuan (anak saudara) yang dekat atau yang sekedim sekali. Jika tiada waris sekedim atau sesuatu suku sudah punah dan harta tersebut tidak dapat diturunkan kepada sesiapa lalu dikatakan sebagai “pusaka bergantung”. Anak atau waris lelaki boleh menyembahkan kepada Undang untuk dilelong. Keutamaan lelongan kepada anggota suku itu sendiri sebelum kepada orang ramai. Hasil lelongan akan diberikan kepada anak-anak lelaki si mati, atau aband, atau bapa saudaranya mengikut keadaan. Harta pusaka tidak boleh dijual, tidak boleh digadai:

Dijual tidak dimakan beli
Digadai tidak dimakan sandar

Harta pusaka tidak diwariskan kepada kaum lelaki tetapi mereka boleh mengambil benda-benda peribadi milik ayahnya (peralatan yang tidak digunakan oleh kaum perempuan) dan diistilahkan sebagao “cenderong mata” (kenang-kenangan). Anak lelaki berhak kepada hasil tanah pusaka seperti hasil tanaman sendiri atau tanaman yang diusahakan oleh ibu bapanya dahulu.

Harta Pembawa

Harta ini ialah milik kaum lelaki yang dikategorikan seperti berikut:
Hart acarian bujang iaitu hart acarian hasil titik peluh lelaki itu. Sekiranya lelaki tersebut meninggal dunia, harta carian itu jatuh ke tangan saudara perempuannya.

Harta yang dihadiahkan oleh ibu bapa si lelaki. Sekiranya dia meninggal dunia dan jika telah berkahwin, harta itu balik semula kepada warisnya.

Hadiah-hadiah dari keluarga kepada lelaki berkenaan selepas berkahwin. Segala harta pembawa mestilah diberitahu waktu berkahwin dan apabila mati permohonan untuk pemulangannya mesti dibuat pada kenduri “meratus hari”. Di waktu itu juga si suami dijemput balik ke tempat asal oleh keluarganya. Tanpa isteri, dia tidak punya hak lagi tinggal di tanag isterinya.

Harta bahagiannya hasil pembahagian hart acarian jika dia sudah beristeri sebelum itu. Harta ini bila ia mati balik kepada warisnya.

Harta Dapatan

Harta ini ialah harta kepunyaan perempuan. Harta ini khususnya harta pusaka yang diwarisi oleh kaum perempuan semasa dia berkahwin. Dalam harta dapatan ini termasuk juga tiga jenis harta lain iaitu hart acarian titik peluh perempuan waktu anak dara (carian bujang), waktu janda (carian janda) dan bahagian yang diperolehinya waktu bercerai. Apabila si perempuan meninggal dunia, harta dapatan ini diwariskan kepada anak perempuannya.

Harta Carian

Harta ini ialah harta carian (sempecarian) suami isteri. Pembahagian hart acarian laki bini ini ditentukan seperti berikut:

Bila isteri atau suami meninggal dunia tanpa anak, semuanya jatuh pada yang hidup (tinggal).

Bila suami yang meninggal dan ada anak, harta jatuh kepada isteri dan anak-anak.

Bila isteri yang meninggal dunia dan ada anak, harta dibahaginkan di antara suami dengan anak-anak. Pembahagian tidak semestinya sama rata. Dasar yang digunakan ialah bertibang rasa pada anak-anak.

Prinsip pembahagian harta ialah:


Pembawa kembali
Dapatan tinggal
Carian bahagi
Mati laki tinggal ke bini
Mati bini tinggal ke laki.50

Kedua-dua harta pembawa dan harta dapatan mesti dimaklumkan kepada Dato’ Lembaga semasa kedua-dua suami isteri membuat perjanjian semasa berkahwin. Tujuan pemakluman tersebut adalah untuk mengelakkan sebarang masalah ketika pembahagian harta-harta tersebut. Harta pembawa biasanya daripada dua sumber iaitu sama ada diperolehi semasa lelaki tersebut masih bujang atau harta yang diberi oleh ibu bapanya. Harta dapatan pula ialah harta yang diberikan daripada ibu bapa kepada anak perempuan mereka.51

Kepentingan Kaum Perempuan Dalam Adat Perpatih

Adat Perpatih menggariskan bahawa kaum perempuan diistilahkan sebagai ‘bunda kandung’ iaitu ibu yang melahirkan anggota-anggota masyarakat; waris pusaka, anggota-anggota yang mewarisi pusaka. Kaum perempuan yang menggembangkan zuriat dengan mengandung dan melahirkan. Kaum perempuan dianggap penentu kepada kualiti generasi akan datang. Adat Perpatih mengklasifikasikan kaum perempuan perlu mempunyai jaminan hidup supaya kehidupan mereka lebih sempurna dan langsung dapat memberi pendidikan kepada anak-anak. Jaminan yang diutamakan Adat Perpatih ialah tanah pusaka. Selain menjadi sumber ekonomi kaum perempuan, tanah pusaka dijadikan tempat tinggal. Apabila seseorang perempuan berkahwin, suami mereka yang akan berpindah dan tinggal di rumah mereka. Sekiranya berlaku penceraian, lelakilah (suami) yang mesti keluar dan perempuan (isteri) tetap tinggal di rumah itu bersama-sama anaknya. Berdasarkan perkara tersebut, Adat Perpatih memberi jaminan bahawa perempuan yang diceraikan akan tetap mempunyai tempat tinggal bersama keluarganya (anak). Adat mengutamakan harta dan tanah serta sawah ladang diberikan kepada kaum perempuan adalah disebabkan faktor mereka golongan yang lemah dan memerlukan pertolongan. Adat Perpatih beranggapan bahawa kaum lelaki boleh tinggal dan tidur di mana-mana dan dianggap mempunyai kekuatan tenaga untuk mencari rezeki. Perumpamaan adat: “pipit jantan tidak bersarang”. Maka Adat Perpatih meletakkan kaum wanita sebagai pewaris harta pusaka yang diturunkan dari sebelah ibunya. Dalam aspek harga diri atau maruah, kaum perempuan dijadikan simbol kepada maruah suku dan jika berlaku perkara yang tidak baik, maka seluruh suku akan menanggung malu. Oleh itu, demi menjaga maruah suku, kaum perempuan diberi kedudukan ekonomi yang teguh. Adat Perpatih juga menganggap kaum perempuan sebagai makhluk yang suci dan indah, sumber kasih sayang, sumber kekuatan rumahtangga dan keselamatan dunia akhirat. (Nordin Selat: 1976;6-7)

Adat Perkahwinan

Adat Perpatih menegah perkahwinan di antara sesama anggota sesebuah suku dan lebih menekankan amalan eksogami. Eksogami atau perkahwinan di luar suku ini menurut Adat Perpatih mempunyai objektifnya tersendiri. Menurut Nordin Selat, eksogami dapat mengekalkan dan mengharmonikan hubungan dalam suku sebagai hubungan persaudaraan dan tidak lebih daripada itu. Kaum lelaki akan tetap menganggap kaum perempuan dalam sukunya sebagai emak, kakak, adik, dan anak. Bertitik-tolak dari itu, kaum lelaki perlu mempunyai sifat melindungi dan menyayangi tetapi tidak pernah dilihat dari sudut hawa nafsu. Amalan eksogami juga dapat mengeratkan perhubungan antara suku. Sebagai contoh, apabila berlaku perkahwinan lelaki dan perempuan berlainan suku akan mewujudkan istilah adat yang dipanggil ‘Orang Tempat Semenda’ yang bermaksud keluarga isterinya dan istilah ‘Orang Semenda’ diberikan kepada si suami di dalam suku isterinya. Oleh itu, eksogami telah menghubungkan anggota berlainan suku dalam Adat Perpatih dan menyebarkan satu jalinan social yang lebih menyeluruh. Seterusnya, eksogami dapat mengawal kelakuan sumbang di kalangan anak-anak muda kerana bimbang mengganggu atau mengusik anak gadis dari suku yang lain yang mungkin anak gadis saudara-mara salah seorang Orang Semenda di dalam suku mereka sendiri. (1976: 32).

____________________________________________________________________________
50 Ibid., Nordin Selat, hlm. 112-118.
51 Ibid., Haji Mohd. Din, hlm. 37.


Adat Orang Semenda
Dalam Adat Perpatih, seseorang lelaki yang berkahwin akan terus tinggal di rumah isterinya. Dia menjadi keluarga semenda kepada anggota suku isterinya dan dia dipanggil sebagai ‘Orang Semenda’. Dia dianggap dan diharapkan untuk menjaga tanah pusaka isterinya. Orang Semenda juga perlu bekerja, berusaha dan berbudi supaya dapat mengembirakan hati Orang Tempat Semendanya. Orang Semenda mempunyai beberapa kewajipan terhadap Orang Tempat Semenda dan dalam keadaan tertentu Orang Tempat Semenda mempunyai hak-hak tertentu ke atas Orang Semenda itu. Orang Semenda mesti menyara isteri dan anak-anaknya. Berdasarkan tempat tinggal, ada tiga jenis Orang Semenda. Pertama, Orang Semenda Bertandang iaitu hanya dating tidur sahaja di rumah isterinya dan waktu siang dia berada di tempat sukunya sendiri dan menurut Nordin Selat, hal ini tidak berlaku lagi di zaman sekarang. Kedua, Orang Semenda Menetap iaitu Orang Semenda yang tinggal bersama isterinya dan mengerjakan tanah isterinya. Ketiga, Orang Semenda Bebas iaitu Orang Semenda yang tinggal dengan isterinya di tanah carian sendiri dan dia bebas dari ditegur oleh Orang Tempat Semenda. Orang Tempat Semenda juga mempunyai beberapa peraturan berkaitan kelakuan terhadap Orang Semenda. Orang Tempat Semenda tidak berhak campur tangan dalam hal ehwal rumahtangga kecuali hingga ke tahap mencederakan atau bersifat fizikal terhadap isterinya. Selain itu, Orang Tempat Semenda mestilah meminta kebenaran atau sekurang-kurangnya memberitahu Orang Semenda berkaitan hasil tanaman keluarga Orang Tempat Semenda. (Nordin Selat: 1976:47-49).

Adat Dan Pentadbiran Tanah Adat Di Negeri Sembilan
Negeri Sembilan mempunyai beberapa kategori tanah di seluruh daerahnya dan antara jenis tanah tersebut ialah yang ditakrifkan sebagai ‘Tanah Adat’ atau ‘Tanah Pesaka Adat’. Tanah adat52 ini terdapat di beberapa luak tetapi tidak semua luak memiliki kategori tanah tersebut. Daerah-daerah yang masih mempunyai tanah adat ialah Jelebu, Kuala Pilah, Jempol, Rembau dan Tampin. Menurut Md. Sharif FH, asalnya tanah adat adalah milik penduduk asli iaitu kaum Waris Jakun. Apabila orang Minangkabau datang ke Negeri Sembilan pada kira-kira kurun ke-14, mereka secara sedikit demi sedikit membeli dan memiliki tanah tersebut untuk dijadikan kampung halaman dan kawasan bercucuk tanam. Tanah-tanah tersebut tidak pernah ditetapkan sebagai milik perseorangan melainkan menjadi hakmilik bersama secara berkelompok atau Suku. Tanah adat ini diletakkan di bawah kelolaan ketua masing-masing yang dinamakan sebagai Dato’ Lembaga. Dato’ Lembaga bertanggungjawab mengawasi tanah itu dan mengumpukkannya kepada anggita suku mengikut adatnya. Hakmilik bagi mewarisi tanah tersebut ditentukan kepada kaum perempuan tetapi mereka hanya mempunyai kuasa memakai atau mendapatkan hasil sahaja dan tidak boleh dijual atau digadai. Sekiranya seseorang ibu meninggal dunia, tanah pesaka adat tersebut akan berpindah milik kepada anak perempuannya dan seterusnya. Seandainya si mati tidak mempunyai anak perempuan, harta tersebut akan berpindah kepada waris perempuan yang terdekat. Sekiranya keturunan perempuan sudah tiada maka tiada siapa yang berhak menerimanya, tanah tersebut akan dipulangkan kepada Undang dan dinamakan sebagai ‘Pesaka Tergantung’. Apabila British mula campur tangan di Negeri Sembilan pada tahun 1870-an hingga awal abad ke-20 Masihi, wujud beberapa perjanjian di antara British dengan Sungai Ujong, Rembau dan Jelebu serta beberapa daerah lain. Kebanyakan perjanjian tersebut menyentuh berkenaan pentadbiran tanah adat di daerah-daerah Negeri Sembilan. Pada tahun 1909, Kerajaan Negeri Sembilan telah membentuk enakmen tanah iaitu ‘Customary Tenure Enactment’ dan Enakmen Tanah Pesaka Adat Cap 215-1926 dengan memberi peruntukan bagi menjamin tanah adat tidak terlepas kepada bukan anggota Suku nan Dua Belas. Undang-undang tersebut juga menjamin status tanah adat dalam keadaan terkawal dan seterusnya memberikan hak kepada setiap anggota kaum perempuan dalam sesebuah suku itu memiliki tanah pesaka yang diwarisi melalui sebelah ibunya.53

___________________________________________________________________________
52 Tanah Adat adalah merujuk kepada tanah di bawah hakmilik Pejabat Tanah yang diwartakan di bawah Enakmen Pegangan Adat Bab 215 dan Enakmen Pegangan Adat (Tanah Lengkongan) 1960 dan ianya diwarisi secara turun temurun oleh sesuatu suku kaum secara berkelompok. Dalam sijil daftar tanah tersebut tercatit nama suku atau kaum berkenaan. Tanah adat terdapat di Negeri Sembilan dan Melaka. Sumber: Jabatan Ketua Pengarah Tanah & Galian Persekutuan, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. www.jkptg.gov.my/
53 Md. Sharif, 1983. Tanah Pesaka Adat di Negeri Sembilan- Sepintas Lalu, Jurnal Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Warisan Keluaran 8, hlm. 13-16.


Berkaitan Tanah Pusaka, sebelum wujudnya undang-undang tahun 1909 ini, masyarakat adat tidak mempunyai hukum yang jelas untuk menyekat penjualan tanah pusaka. Enakmen ini menghindari penjualan tanah kepada orang yang tidak sama suku. Setiap tanah pusaka hanya sah sebagai tanah pusaka jika ada cap “customary land” pada gerannya.54

Adat Istiadat Penghulu-Penghulu Mengadap Luak Tanah Mengandung

Istiadat ini diadakan secara berasingan dan tidak lagi melibatkan luak-luak yang lain. Istiadat ini hanya dihadiri oleh Luak Tanah Mengandung yang melibatkan semua Dato’-Dato’ Penghulu dan Dato’-Dato’ Lembaga di luak ini (Tanah mengandung). Istiadat ini diadakan setiap tiga tahun sekali dan diadakan sejak pemerintahan DYMM Tuanku Muhammad. Istiadat ini dimulakan oleh Dato’-Dato Penghulu seperti berikut:

1) Penghulu Luak Ulu Muar, Dato’ Setia Maharaja Lela Pahlawan.
2) Penghulu Luak Jempol, Dato’ Lela Pahlawan.
3) Penghulu Luak Terachi, Dato’ Andika Pahlawan.
4) Penghulu Luak Gunung Pasir, Dato’ Setiawan.
5) Penghulu Luak Inas, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa.
6) Penghulu Luak Gemenceh, Dato’ Setiawan.
7) Penghulu Luak Air Kuning, Dato’ Penghulu Pesaka Air Kuning.
8) Penghulu Luak Linggi, Dato’ Muda Linggi.

Kemudian, disusuli oleh Dato’-Dato’ Lembaga:

1) Luak Ulu Muar
a. Dato’ Baginda Maharaja – Serampu Lembaga
b. Dato’ Paduka Besar – Lembaga Yang Empat
c. Dato’ Seri Maharaja – Lembaga Yang Empat
d. Dato’ Senara Muda – Lembaga Yang Empat
e. Dato’ Orang Kaya Bongsu – Lembaga Yang Empat
2) Luak Ulu Jempol
a. Dato’ Lela Raja
b. Dato’ Seri Amar Menteri
3) Luak Terachi
a. Dato’ Muda Di-Raja
b. Dato’ Menti Maharaja
4) Luak Gunung Pasir
a. Dato’ Paduka Seri Maharaja
b. Dato’ Setia Lela

__________________________________________________________________________
54 Ibid., Nordin Selat, hlm. 107-109


Adat Istiadat Menurunkan Alat-alat Kebesaran

Istiadat ini merupakan satu kewajipan sebelum Istiadat Penghulu-Penghulu Mengadap. Hari pertama, semua Dato’-Dato’ Orang Besar Istana dikehendaki hadir ke istana untuk menurunkan Alat-Alat Kebesaran:
1) 8 Kaki Payung Kuning
2) 8 Bilah Keris Panjang
3) 8 Bilah Pedang Panjang
4) 4 Batang Panji-Panji (Tonggol) Kuning
5) 2 Batang Panji-Panji (Tonggol) Merah
6) 2 Batang Panji-Panji (Tonggol) Hitam
7) 8 Bilah Tombak Berambu55

Adat Merantau

-Tujuan mendapatkan pendapatan yang lebih, memelihara dan menambah harta pusaka.
-Mencari ilmu dan rezeki di tempat lain untuk di bawa ke kampung sendiri.
Adat Berkedim
-Peraturan yang membenarkan orang luar berkahwin dengan gadis yang dalam sesuatu suku.
-Mengiktiraf orang luar menjadi salah seorang dari suku dalam masyarakat Adat Perpatih.
-Upacara berkedim:
1. Menyembelih kambing dan mengadakan kenduri.
2. Emas atau duit dibahagikan kepada waris.
3. Merenjis air limau kepada yang terlibat.
4. Taat setia kepada keluarga yang dikedimkan.

Adat Semenda Menyemenda

-Bermulanya perkembangan Adat Perpatih di Negeri Sembilan berasaskan kepada semenda menyemenda di antara Orang Asli (Biduanda) dengan peneroka Minangkabau.
-Melalui proses ini akan merapatkan hubungan persaudaraan.
-Di dalam perkahwinan ianya melibatkan semua orang di dalam keluarga tersebut.
-Sekiranya ada yang tidak mematuhinya akan dianggap melanggar adat dan mereka akan dipulaukan.
-Ianya hanya dipulihkan melalui proses ‘bertimbang salah’ kepada Buapak dan Lembaga.

_____________________________________________________________________________
55 Ismail Abdul Hadi, 1989. Tradisi Penghulu-Penghulu Luak Mengadap-Satu Tinjauan Ringkas Ke Atas Upacara dan Adat Istiadatnya. Jurnal Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Keluaran 13 1988/1989, hlm. 21-26.


Adat Memilih Pemimpin Orang Besar Adat
-Pemilihan diadakan secara demokrasi atau kerapatan.
-Pemilihan Orang Besar Adat seperti Lembaga dan Buapak dipilih secara demokrasi dipanggil kerapatan.
-Kerapatan dilakukan dengan mengumpul Anak Buah dan memilih calon yang memahami Adat Perpatih.

Adat Menyandar
-Dilakukan sebelum Adat Istiadat Kerjan.
-Tujuan untuk menjemput Lembaga yang dilantik yang berada di rumah Telapak untuk dibawa balik ke rumah pesaka (rumah isterinya).
-Setelah itu, anak buah Lembaga turun dari rumah Telapak menuju ke rumah pusaka dengan membawa lembing, pedang, keris dan rebana.
-Isteri Lembaga akan menyambutnya di hadapan rumah dan dibawa ke Buapak untuk memperkenalkan dan memohon izin.

Adat Istiadat Kerjan
-Kerja bermaksud mendirikan ‘Kerajaan’.
-Semasa proses Kerjan, beberapa alat kebesaran akan dikeluarkan. Contoh alat kebesaran: keris panjang, tombak berambu, lembing, pedang berambu, dan sebagainya.
-Di dalam rumah akan dipasang tabir lelangit dan tadbir lingkungan.
-Kenduri diadakan secara gotong-royong dengan sembelihan lembu. Kepalanya akan dipertonton kepada masyarakat umum.
-Dato’ Lembaga tersebut akan dimandikan dengan air limau nipis di atas kerusi tiga tingkat sebagai tanda lembaga itu sudah bersih. Setelah selesai akan dipakaikan pakaian Melayu dan didudukkan di atas tilam pandak serambi rumah.

Adat Istiadat Mengadap
-Sebagai tanda merafak sembah dan taat setia kepada pemerintah.
-Dimulakan dengan upacara menurun alat kebesaran.
-Alat-alat Kebesaran:
1. 8 kaki paying kuning
2. 8 bilah keris panjang
3. 8 bilah pedang panjang
4. 4 batang panji-panji kuning
5. 2 batang panji merah
6. 2 batang panji hitam
7. 8 bilah tombak berambu.

Adat Menyembut Orang Besar
-Menjemput pembesar ke majlis kenduri.
-Tepat sireh hendaklah dibawa semasa untuk menjemput Orang Besar Adat.
Adat Menghukum Anak Buah
-Lembaga akan menjatuhkan hukuman kepada anak buah yang tidak mengikut adat dan melanggar adat.
-Hukumannya adalah mengadakan kenduri secara kecilan dengan menjemput orang yang terasa hati.

Adat Melenggang Perut
-Adat ini dilakukan kepada wanita yang mengandung anak sulung yang berusia tujuh bulan.
-Peralatan yang disediakan:
1. Tepung tawar ang diperbuat daripada beras dan digiling halus bersama daun pandan. Bahan tersebut dicalit ke dahi ibu.
2. Beras kunyit yang ditabur dengan jampi.
3. Limau dan sebuyung air untuk memandikan ibu.
4. Telur dan cermin muka bulat di mana telur akan dilepaskan semasa ibu mengandung mandi untuk memudahkan bersalin. Cermin muka bertujuan dengan harapan mendapat anak yang cantic.
5. Mandian air bunga tujuh jenis bunga.
6. Tujuh helai kain.
7. Benang, kunyit, cincin emas diikat di perut ibu.
8. Kelapa digunakan dengan cara si ibu menolak kepala dan mata kelapa di atas dipercayai kandungannya adalah anak lelaki.
9. Talam berisi cendana dan minyak kelapa.
10. Duit pengeras sebanyak RM1.25.

Adat Bercukur Jabul
-Anak kecil ditatang dan dibawa kepada tetamu untuk dipotong sedikit rambutnya.
-Rambut bayi akan dipotong sedikit demi sedikit dan akhirnya akan dicukur botak.
-Rambut akan ditimbang dan dinilai mengikut nilaian emas untuk membayar zakat.
-Potongan rambut dimasukkan ke dalam kelapa dan dihanyutkan ke sungai untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak baik.

Adat Berendoi
-Setelah selesai bercukur jambul, anak tersebut akan dimasukkan ke dalam buaian yang dihias indah sambil dialun dengan lagu nazam berendoi yang dinyanyikan oleh sekumpulan wanita.
-Nazam juga berupa doa dan nasihat untuk anak kecil dan para hadirin.
-Adat ini akan diakhiri dengan doa selamat dan jamuan makan.

Adat Jejak Tanah
-Dilakukan kepada bayi yang baru pandai berjalan.
-Tujuan supaya anak tersebut dapat berjalan dan mengelakkan perkara buruk berlaku.
-Dilakukan oleh bidan kampung.
-Bayi dibawa ke tanah untuk diajar berjalan.

Adat Merisik
-Merisik seterusnya adalah ‘risik berdesus’ iaitu bertanya kepada si gadis sudah berpunya atau belum dengan cara berguarau.
-Sekiranya dipersetujui, proses menghantar cincin tanda yang akan dilakukan oleh ibu bapa lelaki atau ibu bapa saudara lelaki. Lelaki membawa tepak dan perempuan membawa cincin.
-Cincin yang diberikan adalah cincin belah rotan.
-Cincinbelah rotan melambangkan gadis tersebut masih suci.
-Sekiranya dipersetujui, cincin akan diterima begitu sebaliknya.
-Ditetapkan proses meminang dan pertunangan.

Adat Bertunang
-Diadakan di rumah perempuan.
-Cincin pertunangan akan dibawa di dalam cembul cincin yang beralas baldu.
-Disarungkan oleh Orang Semenda atau ibu.
-Tepak sireh dibawa sebagai ‘kepala adat’. Penyusunan kepala sireh menghadap kepala tepak. Kelengkapan lain adalah kapur, gambir, pinang dan bunga cengkih.
-Tempoh pertunangan, ikatan perjanjjian ditetapkan, pelanggaran syarat dan penetapan mas kahwin akan dibincangkan.
-Peralatan persalinan dibawa bersama.

Adat Berkampung / Kerapatan
-Majlis berkumpul bagi membincangkan hal ehwal perkahwinan dan pembahagian tugas semasa majlis perahwinan.
-Diadakan dalam tempoh sebulan atau dua bulan dari tempoh perkahwinan.
-Diketaui oleh Buapak.

Adat Perkahwinan
-Upacara nikah dilakukan sama ada di rumah perempuan atau di surau/masjid.
-Pengantin lelaki duduk di atas sejadah atau tilam beralas.
-Sekiranya pihak lelaki datang dari jauh, mereka akan ‘berangguh’ (duduk sementara di rumah saudara perempuan yang berhapiran).
-Malam berninai besar dilakukan untuk menginaikan pengantin.
-Dimulakan oleh Buapak.
-Peralatan digunakan ialah air mawar, inai, beras kunyit, tepung tawar, dan bunga telur sebagai buah tangan (cenderahati) orang menginai.

Adat Bertandang
-Istiadat bertandang adalah upacara pihak pengantin perempuan ke rumah pengantin lelaki.
-Buah tangan dibawa bersama adalah:
1. Tepak sireh.
2. Nasi besar/nasi godang. Pulut Kuning diisi di dalam ponco dan diserahkan kepada ibu lelaki.
3. Nasi kecil/Telapak berisi penganan dan wajik dan diserahkan kepada bapa saudara lelaki.
4. Boko merupakan bekas anyaman daun mengkuang berisi wajik atau penganan dan diserahkan kepada waris dalam suku pengantin lelaki.
-Dibalas dengan ‘kelikir kerbau’ atau emas.

Adat Menyalang
-Kedua-dua pengantin akan mengunjungi sanak saudara.
-Tujuannya adalah untuk berkenalan dan merapatkan hubungan.
-Dibawa bersama buah tangan berupa Boko. Dibalas dengan barangan kelengkapan harian rumah. Pada masa dahulu, yang berkemampuan akan memberikan emas dan kerikil kerbau.

HUKUM ADAT
Dalam Adat Perpatih, adat itu ialah hukum hidup yang mengandungi peraturan-peraturan hidup. Hukum pula disesuaikan dengan keperluan hidup bersuku dan hidup atas prinsip budi dan muafakat. Dengan adanya hukum adat, masyarakat dapat menjalani kehidupan dengan lancer dan mewujudkan ketenteraman sejagat. Peraturan-peraturan ini terkandung dalam perbilangan Adat atau ‘kata pusaka’ yang menjadi rangka ukuran pola dan peraturan hidup bermasyarakat yang “patut” dan “betul” dalam Adat Perpatih.

Negeri berpagar Undang
Kampung berpagar Pusaka

“Undang” bermakna peraturan dan “Pusaka” bermaksud perkara-perkara yang lazim dilakukan yang berpunca dari kata pusaka, gelaran pusaka dan harta pusaka.
Dalam Adat Perpatih, pihak yang menguatkuasakan hukum-hukum ini ialah ketua-ketua Adat yang umumnya dianggotai oleh kaum lelaki. Dalam falsafah hukum adat, keutamaannya ialah mencari penyelesaian khususnya dalam masyarakat.

Malu tak berbelahbagi
Malu seorang malu semua

Buruk dibaiki
Kusut diselesaikan
Gaduh di hulu dihului
Gaduh di hilir dihiliri
Gaduh di tengah dihampiri

Dalam Adat Perpatih, penyelesaian tidak mengenepikan soal keadilan dan ketidakadilan ditolak sama sekali. Adat juga mengutamakan soal menjaga pemuafakatan masyarakat supayah tidak berpecah belah dan memusuhi di antara satu sama lain.

Keputusan Adat tiga perkara:
Pertama Adat mensiang iaitu terjali
Kedua Adat tiang iaitu Adat berkebulatan
Ketiga Adat kitabullah iaitu hukum Al-Quran

Hukum Harta dan Pusaka
Adat Perpatih mempunyai 4 jenis harta:
1. Harta Pusaka
2. Harta Pembawa
3. Harta Dapatan
4. Harta Carian

Harta Pusaka
Harta ini adalah hak perempuan atau dipanggil “waris pusaka”. Tanpa harta pusaka seseorang perempuan itu dianggap “anak dagang”. Pada dasarnya harta pusaka ialah harta kepunyaan sesuatu suku atau perut yang diwarisi secara turun temurun kepada keturunan perempuan. Perempuan yang mewarisi harta ini hanya mempunyai hak pakai. Dia boleh memindahkan hak pakai ini kepada orang lain tetapi tidak boleh menukar nama. Kuasa hak pakai dalam Adat Perpatih dikenali sebagai “genggam nan beruntuk” yang bermaksud diuntukkan (diberikan) kepada pemegang tertentu. Kaedah mewarisi harta pusaka diperturunkan daripa seorang ibu kepada anak-anak perempuannya. Jika tiada anak perempuan, keluarga perempuan (anak saudara) yang dekat atau yang sekedim sekali. Jika tiada waris sekedim atau sesuatu suku sudah punah dan harta tersebut tidak dapat diturunkan kepada sesiapa lalu dikatakan sebagai “pusaka bergantung”. Anak atau waris lelaki boleh menyembahkan kepada Undang untuk dilelong. Keutamaan lelongan kepada anggota suku itu sendiri sebelum kepada orang ramai. Hasil lelongan akan diberikan kepada anak-anak lelaki si mati, atau aband, atau bapa saudaranya mengikut keadaan. Harta pusaka tidak boleh dijual, tidak boleh digadai:

Dijual tidak dimakan beli
Digadai tidak dimakan sandar

Harta pusaka tidak diwariskan kepada kaum lelaki tetapi mereka boleh mengambil benda-benda peribadi milik ayahnya (peralatan yang tidak digunakan oleh kaum perempuan) dan diistilahkan sebagao “cenderong mata” (kenang-kenangan). Anak lelaki berhak kepada hasil tanah pusaka seperti hasil tanaman sendiri atau tanaman yang diusahakan oleh ibu bapanya dahulu.

Harta Pembawa
Harta ini ialah milik kaum lelaki yang dikategorikan seperti berikut:

Harta carian bujang iaitu harta carian hasil titik peluh lelaki itu. Sekiranya lelaki tersebut meninggal dunia, harta carian itu jatuh ke tangan saudara perempuannya.

Harta yang dihadiahkan oleh ibu bapa si lelaki. Sekiranya dia meninggal dunia dan jika telah berkahwin, harta itu balik semula kepada warisnya.

Hadiah-hadiah dari keluarga kepada lelaki berkenaan selepas berkahwin. Segala harta pembawa mestilah diberitahu waktu berkahwin dan apabila mati permohonan untuk pemulangannya mesti dibuat pada kenduri “meratus hari”. Di waktu itu juga si suami dijemput balik ke tempat asal oleh keluarganya. Tanpa isteri, dia tidak punya hak lagi tinggal di tanag isterinya.

Harta bahagiannya hasil pembahagian hart acarian jika dia sudah beristeri sebelum itu. Harta ini bila ia mati balik kepada warisnya.

Harta Dapatan
Harta ini ialah harta kepunyaan perempuan. Harta ini khususnya harta pusaka yang diwarisi oleh kaum perempuan semasa dia berkahwin. Dalam harta dapatan ini termasuk juga tiga jenis harta lain iaitu harta carian titik peluh perempuan waktu anak dara (carian bujang), waktu janda (carian janda) dan bahagian yang diperolehinya waktu bercerai. Apabila si perempuan meninggal dunia, harta dapatan ini diwariskan kepada anak perempuannya.

Harta Carian
Harta ini ialah harta carian (sepencarian) suami isteri. Pembahagian harta carian laki bini ini ditentukan seperti berikut:

Bila isteri atau suami meninggal dunia tanpa anak, semuanya jatuh pada yang hidup (tinggal).
Bila suami yang meninggal dan ada anak, harta jatuh kepada isteri dan anak-anak.
Bila isteri yang meninggal dunia dan ada anak, harta dibahaginkan di antara suami dengan anak-anak. Pembahagian tidak semestinya sama rata. Dasar yang digunakan ialah bertibang rasa pada anak-anak
Prinsip pembahagian harta ialah:
Pembawa kembali
Dapatan tinggal
Carian bahagi
Mati laki tinggal ke bini
Mati bini tinggal ke laki.56

Kedua-dua harta pembawa dan harta dapatan mesti dimaklumkan kepada Dato’ Lembaga semasa kedua-dua suami isteri membuat perjanjian semasa berkahwin. Tujuan pemakluman tersebut adalah untuk mengelakkan sebarang masalah ketika pembahagian harta-harta tersebut. Harta pembawa biasanya daripada dua sumber iaitu sama ada diperolehi semasa lelaki tersebut masih bujang atau harta yang diberi oleh ibu bapanya. Harta dapatan pula ialah harta yang diberikan daripada ibu bapa kepada anak perempuan mereka.57

_____________________________________________________________________________
56 Ibid., Nordin Selat, hlm. 112-118.


HUKUM KELUARGA
Dalam Adat Perpatih, ketua keluarga ialah bapa dan berkuasa memberi ilmu dan menjaga keperibadian anak-anaknya. Anggota-anggota keluarga dan seterusnya perut dan suku dianggap mempunyai ikatan persaudaraan. Anggota lelaki dan perempuan sesame suku tidak dibenarkan berkahwin dan segala kelakuan mereka melalui tingkah laku: tidak dibenarkan berbual-bual (bercakap) yang tidak senonoh, berkelakuan seperti suami isteri, berjalan bersama, menatap antara satu sama lain dengan penuh ghairah, berdua-duaan di tempat sunyi.

Sumbang percakapan
Sumbang kelakuan
Sumbang pemandangan
Sumbang kedudukan
Sumbang perjalanan

HUKUM ORANG SEMENDA DAN ORANG TEMPAT SEMENDA

Orang Semenda
Seorang lelaki yang berkahwin dan berpindah serta tinggal di rumah isterinya.

Orang Tempat Semenda
Bermaksud semua anggota lelaki yang baligh dari suku isterinya adalah Orang Tempat Semendanya.

Orang Semenda perlu mematuhi tatatertib hidup bermasyarakat dalam suku isterinya. Sebagai Orang Semenda, kedudukannya seperti “timun” dan harus mengalah.

Lingkungan bendul yang empat
Orang Semenda yang punya

Bagaimanapun, Orang Semenda masih mempunyai kuasa ke atas keluarganya termasuk ke atas isterinya. Orang Semenda juga diharapkan berupaya menambah harta isterinya.

Kalau alim minta doanya
Kalau kaya minta ringgitnya
Kalau cerdik minta akalnya
Kalau rimbun tempat berteduh

____________________________________________________________________________
57 Ibid., Haji Mohd. Din, hlm. 37.


Sekiranya Orang Semenda ditakdirkan jatuh sakit atau cacat anggota ketika hidup di suku isteri, dia tidak akan dihalau tetapi tetap berguna dalam adat.

Yang buta mengembuskan lesung
Yang pekak membakar bedil
Yang kurap mengandar buluh
Yang patah menunggu jemuran

Orang Semenda diharapkan sentiasa berkelakuan baik dan tidak melakukan perbuatan yang mengaibkan. Orang Semenda dilarang melakukan perbuatan tidak baik terhadap anggota-anggota perempuan di rumah isterinya. Orang Semenda dilarang berkahwin seorang lagi perempuan yang sama suku isterinya. Orang Semenda dilarang menjual maruah isterinya dan tidak dibenarkan berkelakuan buruk dengan isteri Orang Tempat Semenda. Hukuman bagi kesalahan-kesalahan ini sangat berat dan dahulu kala boleh dihukum bunuh atau kadag-kadang dipukul pada waktu malam dengan batang cangkul.

Menurut adat, kategori- kategori Orang Semenda:

Orang Semenda Sahaja
Orang yang tidak ada anak dan tidak membantu mengembangkan suku

Orang Semenda Bapa Budak
Sekurang-kurangnya, tidak ada sumbangan lain melainkan membantu menambah anggota-anggota suku.

Orang Semenda Langau Hijau
Suami yang meninggalkan isterinya sesudah mengandung dan dalam masa yang sama dia juga membuntingkan perempuan lain dalam suku isterinya.

Orang Semenda Kumbang Jantan
Orang yang menghabiskan harta isterinya.

Orang Semenda Alas Orang Tempat Semenda
Orang yang unggul, berguna dan menguatkan kedudukan suku.

Sebaliknya, Orang Tempat Semenda perlu menghormati Orang Semenda. Adalah menjadi kesalahan jika Orang Tempat Semenda yang dikatakan;

Sudah diberi ditarik balik
Sudah dituja dipegang ekor
Sudah dipertaruh dipermalami
Sudah dipesan dituruti

Perbilangan di atas bermaksud sebarang harta yang telah diberikan kepada Orang Semenda suami isteri tidak boleh ditarik balik. Orang Semenda tidak boleh dilarang membawa isterinya (merantau). Orang Tempat Semenda perlu memberi kepercayaan kepada Orang Semenda. Sebarang kesalahan Orang Tempat Semenda kepada Orang Semenda adalah ‘kesalahan kumpulan’ yang dianggap bukan kesalahan individu tetapi melibatkan semua anggota Orang Tempat Semenda. Sekiranya wujud kesalahan di antara mereka perlu diselesaikan dengan mengaku kesalahan dan meminta maaf serta diadakan kenduri kecil. Perbuatan bergaduh, perselisihan dan hukum menghukum sebolehnya dielakkan kerana akan memberikan imej buruk kepada suku.

Kusut menyelesaikan
Cicir memungut, hilang mencari
Hutang membayar, piutang menerimakan
Oleh Tempat Semenda

HUKUM PERKAHWINAN
Adat Perpatih melarang perkahwinan sesama suku. Menurut adat, dipercayai bahawa keturunan hasil perkahwinan sesama suku akan menimbulkan cacat celanya seperti tidak cukup sifat (cacat), bodoh dan sebagainya. Sekiranya berlaku perkahwinan sesama suku, pasangan tersebut akan dipulaukan oleh keluarganya dari semua majlis upacara yang memerlukan mereka. Bagi perempuan tersebut, dia tidak akan diberi tanah pusaka. Pasangan tersebut tidak dibenarkan menjejak tanah pusaka perutnya. Majlis kenduri-kendaranya tidak akan dipedulikan (dipulaukan). Pasangan ini tidak ada status dan kedudukan dalam masyarakat dan mereka terbuang dalam Adat Perpatih.

Laksana buah beluluk
Tercampak ke laut tidak dimakan ikan
Tercampak ke darat tidak dimakan ayam

Kahwin sesuku merupakan kesalahan besar dan menurut adat diistilahkan sebagai “sumbang” yang tergolong dalam dua jenis:
1. Sumbang Sewaris – berkahwin sesuku tetapi lain perut.
Hukuman bagi sumbang ini ialah harta pusaka dirampas. Undang boleh menjatuhkan denda 50 gantang beras, seekor kerbau dan wang $14. Kemungkinan untuk perempuan itu diterima semula oleh sukunya masih ada sekiranya perempuan itu bercerai hidup atau mati dengan suaminya. Kebenaran untuk diterima semula perlu membuat rayuan kepada Lembaga dan Undang dan perlu menjelaskan denda yang dikenakan ke atasnya.
2. Sumbang Sekedim – berkahwin dalam perut sendiri
Sumbang ini juga dinamakan sebagai “sumbang balai melintang” dan merupakan kesalahan besar dan dianggap derhaka. Hukumanya ialah harta pusaka dirampas dan ada disesetengah tempat suatu masa dahulu dikenakan hukuman bunuh.

-Seorang lelaki tidak dibenarkan berkahwin dengan dua orang perempuan yang sama suku.
-Seseorang lelaki yang sudah bercerai tidak digalakkan berkahwin dengan perempuan yang sama suku dengan jandanya. Kesalahan ini dianggap kecil dan dinamakan “salah pada adat”. Sekiranya diterima juga atas muafakat, dia mesti membayar denda tetapi menurut adat, perkahwinan jenis ini menjadi “buah mulut orang”.
-Seseorang lelaki boleh berkahwin tidak lebih dari empat seperti mana mengikut hukum syarak. Dalam Adat Perpatih, ia merupakan obligasi yang terlalu banyak kerana lelaki yang berkahwin tersebut akan menjadi Orang Semenda kepada empat buah suku.

HUKUM JENAYAH

8 Jenis Jenayah dalam Adat Perpatih:
1. Tikam bunuh
2. Upas racun
3. Samun sakar
4. Siar bakar
5. Maling curi
6. Umbuak umbai
7. Sumbang salah
8. Dahaga dahagi

1.Tikam bunuh
‘Tikam’ ialah perbuatan melukakan (mencederakan) dengan menggunakan senjata tajam tetapi tidak sampai membawa maut. ‘Bunuh’ ialah menyebabkan kematian menerusi tikaman dengan senjata tajam.

2.Upas racun
‘Upas’ ialah dengan berniat sengaja dan secara tipu daya memberi makan racun hingga merana tetapi tidak membawa maut. ‘Racun’ ialah menyebabkan kematian menerusi racun.

3.Samun sakar
‘Samun’ ialah kekerasan merampas harta orang untuk faedah di sendiri di tempat sunyi. ‘Sakar’ ialah menyebabkan kematian ketika melakukan samun.

4.Siar bakar
‘Siar’ ialah dengan sengaja membakar harta orang tetapi tidak sampai musnah sama sekali. ‘Bakar’ ialah dengan sengaja atau menerusi kecuaian atau pergabaian menyebabkan harta orang terbakar hingga musnah sama sekali.

5.Maling curi
‘Maling’ ialah mengambil harta orang waktu malam dengan mnggeledah, memecahkan, memanjat atau menggunakan kunci palsu. ‘Curi’ ialah mengambil harta orang pada waktu siang hari.

6.Umbuak umbai
‘Umbuak’ ialah rasuah iaitu untuk faedah diri sendiri memujuk orang untuk membuat atau tidak membuat sesuatu dengan memberi hadiah, menjanjikan wang atau barang, atau menggunakan pengaruh. ‘Umbai’ ialah untuk faedah diri sendiri dengan mengugut orang dengan kekerasan supaya melakukan sesuatu.

7.Sumbang salah
‘Sumbang’ ialah dengan sengaja berkelakuan tidak tertib atau tidak sopan di khalayak ramai. ‘Salah’ ialah kekerasan atau ugutan memaksa orang melakukan atau menerima perbuatan yang mencabul maruah atau yang tidak sopan.

8.Dahaga dahagi
‘Dahaga’ ialah dengan sengaja melawan ketua adat dalam menjalankan tugasnya yang wajar. ‘Dahagi’ ialah perbuatan ketua adat mengemukakan tuduhan palsu dengan sengaja terhadap anak buahnya.

Tanda-Tanda Bersalah
1. Syak Wasangka
2. Bukti

1. Syak Wasangka
Syak wasangka boleh didatangkan ke atas seseorang jika ada salah satu dari tanda-tanda berikut:
a) Berjejak bak bakiak, beruas bak si pasin
“Bakiak” ialah sejenis burung seperti ayam yang meninggalkan jejak-jejak kakinya di lumpur. “Si Pasin” ialah sejenis binatang yang meninggalkan tanda perjalanannya di lumpur. Maksudnya, seseorang boleh dikenakan syak
wasangka apabila ia kelihatan, seumpama berlari cepat membawa barang sejurus selepas berlakunya kecurian.

b) Berbau bak ambacang; atau, Terniang-niang bak kokok ayam; atau, Dibawa angin
Maksudnya syak wasangka boleh dikenakan ke atas seseorang berdasarkan desas-desus dan khabar-khabar angin.

c) Enggang lalu ranting patah
Kalau burung enggang lalu dan kedapatan ranting patah, wajarlah disyaki enggang yang menyebabkan ranting itu patah. Maksudnya, jika seorang bergaduh kehilangan barang sejurus selepas seseorang itu lalu, maka orang itu bolehlah dkenakan syak wasangka.

d) Runcing tanduk
Kerbau runcing tanduk merupakan yang pertama sekali disyaki jika binatang lain luka. Maksudnya, orang yang ada rekod jenayah atau pernah dituduh dahulu dengan sendirinya dikenakan syak wasangka bila berlaku sesuatu jenayah.

e) Cencang wanggah bengkak kening
“cencang wanggah bengkak kening” ialah orang yang selalu sahaja bergaduh. Maksudnya, jika seseorang didapati tercedera maka syak wasangka dikenakan kepada orang yang terkenal sebagai kaki gaduh.

f) Tersindang jejak menurun, tertukik jejak mendaki
Dati tanda-tanda di tanah bukti dapat dilihat kalau ada orang menuruni bukit itu atau menaikinya. Maksudnya, seseorang boleh disyaki jika selepas berlaku sesuatu jenayah cara hidupnya tiba-tiba bertukar, umpama seseorang yang tiba-tiba kelihatan kaya dan mewah selepas berlakunya sesuatu kecurian.

2. Bukti
a) Terkikik terkadik tertanda terbeti
“Terkiki terkadik” ialah ditangkap basah, ketika sedang melakukan jenayah. “Tertanda” ialah ada tanda-tanda di tubuh yang tidak dapat diberi sebabnya yang meyakinkan, umpamanya luka atau tanda dicakar. “Terbeti” ialah apabila barang-barang kepunyaan seseorang itu didapati di tempat berlakunya jenayah.

b) Pulang pagi berbasah-basah, bermurah-murah
“Pulang pagi berbasah-basah” ialah menunjukkan tanda-tanda telah melakukan jenayah, umpamanya baju kotor atau koyak. “Berjual bermurah-murah” mungkin bermakna secara literal menjual barang-barang yang dicuri dengan
harga murah atau secara kiasan terlalu murang dengan penjelasan iaitu memberi penjelasan berjela-jela tanpa ditanya untuk membersihkan diri dari syak orang.

c) Terlelah terkejar, lo kata orang banyak
Maksudnya selepas berlakunya jenayah orang ramai mengejar orang yang melakukannya dan dapat mengenalinya walaupun tidak dapat menangkapnya.

d) Bertali boleh diheret, bertampuk boleh dijinjing
Maksudnya, ada tanda jelas mensabitkan kesalahan di tubuh seseorang itu, umpamanya dalam pergelutan tangan atau telinga penjenayah itu dipotong orang dan kemudiannya seseorang dijumpa dengan tangan atau telinganya terpotong.

e) Bertunggul penebangan, bersasuk berjerami
Adanya tunggul-tunggul menunjukkan pohon-pohon telah ditebang, adanya sasuk jerami menunjukkan padi telah dituai. Maksudnya, seseorang kedapatan dengan tanda-tanda yang sah telah melakukan jenayah, misalnya darah atau mayat.

f) Bertimbang ciak dak menjawab
Maksudnya, seseorang menyerlahkan kesalahannya dengan memberi jawapan yang dusta kepada soalan-soalan.

ADAT DAN PERUBAHAN
Adat Perpatih adalah satu system kemasyarakatan yang lengkap. Sistem ini tidak statik tetapi dinamik kerana memberi ruang, peluang dan peraturan untuk mengubahnya mengikut masa, keadaan dan zaman. Kedinamikan adat ini termaktub dalam perlembagaannya yang dipaprkan dalam bentuk kata adat:

Baik diterima dek muafakat,
Buruk ditolak dek rundingan,
Tak ada yang kerus yang tak jernih,
Tak ada yang kusut yang tak selesai.

Usang-usang diperbaharui,
Lapuk-lapuk dikajangi.
Sekali air bah,
Sekali tebing berubah,
Sekali raja mangkat,
Sekali adat beralih,
Sekali tahun beredar,
Sekali musim bertukar.

Kebudayaan dan Identiti Masyarakat Adat Perpatih di Negeri Sembilan

Peralatan Tradisional
1. Bujam Epok
2. Ponco
3. Tepak Sirih
4. Boko

Pakaian dan Kostum Tradisional
1. Destar Dendam Tak Sudah
2. Pakaian Pengantin Minangkabau

Tarian, Lagu dan Muzik Tradisional
1. Tumbuk Kalang
2. Cak Lempong
3. Bongai
4.Randai
5.Tarian Piring
6.Tarian Endang

Masakan Tradisional
1. Kuih Sopang
2. Rendang Pucuk Ubi
3. Penganan
4. Masak Lemak Daging Salai
5. Lemang
6. Masak Lemak Cili Api




SUMBER RUJUKAN

Abdu Samad Idris, 1987.Takhta Negeri Sembilan. Kuala Lumpur: Utusan Princorp Sdn. Bhd.

D.Lewis, 1962. The Minangkabau Malay of Negeri Sembilan: A Study. Xerox University, Michingan, Amerika.

Gullick, J.M., 2003. A History of Negeri Sembilan. Kuala Lumpur: MBRAS.
Haji Mohd. Din Ali, 1963. Malay Customary Law/Family, dalam Intisari Malaysia Sosiologi Research Institute, Singapura, Jilid II, No. 4.

Hooker, 1970. Readings in Malay Adat Laws. Singapore: Singapore University Press.

Ismail Abdul Hadi, 1989. Tradisi Penghulu-Penghulu Luak Mengadap-Satu Tinjauan Ringkas Ke Atas Upacara dan Adat Istiadatnya. Jurnal Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Keluaran 13 1988/1989.

Md Mansoer, 1970. Sedjarah Minangkabau. Penerbit Bhratara, Jakarta.

Md. Sharif, 1983. Tanah Pesaka Adat di Negeri Sembilan- Sepintas Lalu, Jurnal Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Warisan Keluaran 8.

M. Rasjid Manggis Dato’ Radjo Panghoeloe, 1982. Sejarah Ringkas Minangkabau dan Adatnya. Penerbit Mutiara Jakarta.
Martin Lister, 1887. The Negri Sembilan Their Origin and Constitution, JBRAS No. 19.

Mohd. Rosli Saluddin, 2004. Pentadbiran dan Adat Istiadat Pelantikan Dalam Adat Perpatih. Kepimpinan Adat Melayu Serumpun. Institut Seni Malaysia Melaka.

Nazarudin Zainun, 2015. Antropologi dan Sejarah Dalam Kearifan Tempatan. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

Nordin Selat, 1976. Sistem Sosial Adat Perpatih. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Norhalim Ibrahim, 1995. Negeri Yang Sembilan, Shah Alam: Penerbitan Fajar Bakti.

Othman Ishak, (1979). Hubungan Antara Undang-Undang Islam Dengan Undang-Undang Adat. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Taylor, E.N., 1919/30. The Customary Law of Rembau, JRASMB, Vol. VIII, Singapura.

Wan Abdul Kadir dan Abdul Rahman, 1976. Adat Istiadat Kerjan Undang Johol Ke-XI. Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Wilkinson, R.J., 1911. Notes On the Negeri Sembilan, Papers on Malay Subjects, Oxford University Press.

Wilkinson, R.J., 1908. Law Part 1, An Introductory Sketch, Papers on Malay Subjects, Kuala Lumpur.

Wilkinson, R.J., 1923. A History of the Peninsula Malay. Third Revision Edition, Oxford University Press.

Winstedt, R.O., 1934. Negeri Sembilan – The History, Polity and Beliefs of the Nine States, JMBRAS 12(3), 1934.

Winstedt, R.O., 1934. Negri Sembilan: The History and Beliefs of the Nine States. JMBRAS 12 (3).

Zainal Abidin Borhan, 2004. Adat Melayu dalam Warisan Peradaban Dunia. Kepimpinan Adat Melayu Serumpun. Institut Seni Malaysia Melaka.

Zainal Kling, 2004. Adat Bersendi Syarak, Syarak Bersendi Kitabullah-Ajaran Tamadun Melayu. Kepimpinan Adat Melayu Serumpun. Institut Seni Malaysia Melaka.

Tiada ulasan: